Friday, December 9, 2011

Hijrah Rasulullah: Keluar Dari Darul Kufur Menuju Darul Islam


Oleh: Ibnu Ma’ruf
 HIJRAH merupakan peristiwa dimana Baginda Nabi SAW berpindah dari Makkah ke Madinah. Ia  merupakan momentum penting dalam lintasan sejarah perjuangan Islam dan kaum Muslimin. Hijrah juga peristiwa yang paling menentukan bagi tegaknya Islam sebagai sebuah ideologi dan sistem dalam sebuah intitusi negara ketika itu, yakni Daulah Islamiyah. Tindakan dan makna politik penting dari hijrahnya Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang sering dilupa dan dilalaikan oleh umat Islam adalah kewajipan menegakkan Negara Islam (ad-Daulah al-Islamiyah).
Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah sesungguhnya merupakan titik penting dalam babak perjuangan baginda beserta para sahabat di dalam menegakkan agama Allah di mana dari situlah lahirnya sebuah Daulah Islam. Madinah merupakan Negara Islam pertama di dunia yang didirikan oleh Rasulullah SAW yang dibangun berdasarkan akidah Islam. Rasulullah SAW diangkat menjadi pemimpin Negara yang bertanggungjawab mengurus urusan umat (rakyat) secara keseluruhan. Sementara hukum (undang-undang) yang berlaku adalah hukum Islam secara keseluruhan menggantikan hukum Jahiliyyah yang sesat dan zalim.
Keberadaan pemimpin, rakyat dan hukum ini cukup untuk menjadi bukti kukuh bahawa apa yang dibangun oleh Rasulullah SAW di Madinah adalah sebuah Negara, dan ia adalah sebuah Negara (Dar) Islam, setelah sebelumnya baginda dan para sahabat hidup dan berjuang di Mekah yang merupakan Negara (Dar) Kufur pada ketika itu. Negara baru yang dibangun oleh Rasulullah SAW ini dihuni oleh warganegara yang beragam. Selain kaum Muslimin yang menjadi majoriti, terdapat Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Auf, Bani Najjar dan termasuk masih terdapat orang-orang musyrik penyembah berhala.
Namun keberagaman ini langsung tidak menghalangi penerapan hukum Islam oleh Rasulullah. Ini kerana, hukum Islam bukan hanya untuk orang-orang Islam sahaja tetapi ia merupakan undang-undang Negara yang mengatur semua warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.
Hubungan antara kaum Muslimin dan warganegara lain yang non-Muslim diatur oleh Rasulullah dengan Islam dan sebuah piagam yang disebut Piagam Madinah (watsiqah al-madinah) diwujudkan. Sebagaimana disebutkan di dalam Sirah Ibnu Hisyam bahawa apabila muncul perselisihan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian, maka wajib dikembalikan kepada Allah dan RasulNya. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT:
 “… kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya” (TMQ An-Nisa’ [4]: 59)
Imam al-Mawardi dalam tafsirnya menjelaskan maksud ayat ini sebagai kewajipan mentaati Allah SWT dalam seluruh perintah dan laranganNya dan taat kepada Rasulullah SAW. Beliau juga mengutip penjelasan Mujahid dan Qatadah bahawa makna kembali kepada Allah dan Rasul adalah kembali kepada kitabullah dan Sunnah Rasulullah. 
Perlu difahami bahawa Rasulullah SAW tidak mendirikan negara-bangsa (nation-state), tetapi baginda mendirikan Negara Islam (Islamic State). Islamic State ini tidak hanya dikhususkan kepada bangsa-bangsa tertentu, tetapi untuk kesemua manusia yang ingin tinggal di dalamnya (dan tunduk kepada Islam). Wilayah kekuasaan Islamic State ini meluas ke seluruh dunia sebagai tanda kewajipan dakwah Islam ke atas seluruh umat manusia. 
Negara Islam ini kemudiannya berkembang dan terus berkembang dengan jalan dakwah dan jihad yang dilakukan oleh Nabi SAW. Pada masa Khulafa’ Rasyidin dan para Khalifah selepasnya, Daulah Islam ini meluas hingga hampir mencapai 2/3 dunia dengan pelbagai bangsa dan agama di dalamnya yang kesemuanya tunduk kepada hukum Islam yang merupakan undang-undang Negara. Walaupun Madinah merupakan sebuah kota kecil ketika itu, namun bukti bahawa Madinah merupakan sebuah Negara Islam tampak jelas dari apa yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana lazimnya dipraktikkan oleh seorang Ketua Negara.
Rasulullah SAW memimpin kaum Muslimin, mengatur urusan-urusan dan kepentingan rakyatnya, memenuhi keperluan asas rakyat, menjamin keamanan dan kesihatan untuk rakyat dan melindungi penduduk Madinah. Rasulullah SAW menjadi hakim (qadhi) jika terjadi perselisihan antara rakyatnya, termasuk melantik Ali bin Abi Thalib, Mu’adz bin Jabal, dan Abu Musa al Asy’ari sebagai qadhi di Yaman.
Rasululah SAW juga melantik Abu Bakar dan Umar sebagai Mu’awwin (pembantu)nya, Mu’adz bin Jabal menjadi Wali (gabenor) di Janad, Khalid bin Walid sebagai Amil di Sun’a, Ziyad bin Lubaid sebagai Wali di Hadhramaut, Abu Dujanah sebagai Amil di Madinah dan seterusnya. Dalam mengurus politik luar negara, Rasulullah SAW mengirim surat-surat diplomatik, melalui utusan diplomatik baginda yang mana kandungannya mengajak pemimpin dan rakyat negara lain untuk memeluk agama Islam.
Sebagai ketua Negara, Rasulullah adalah Amirul Jihad (ketua/pemimpin perang) dalam pelbagai pertempuran dan telah melantik beberapa orang sahabat baginda sebagai Komandan di dalam beberapa peperangan. Baginda mengutus Hamzah bin Abdul Muthalib dan sahabat lainnya dalam pasukan perang menyerang Quraisy, antara lain mengutus Zaid bin Haritsah menyerang Rom, Khalid bin Walid menyerang Dumatul Jandal dan banyak lagi.
Kesemua hal ini hanya boleh dilakukan oleh seorang Ketua Negara dan semua fakta ini merupakan hakikat yang tidak boleh dibantah bahawa Madinah adalah sebuah negara yang telah dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri.
Bermula dari hijrah Rasulullah SAW yang keluar dari Negara Kufur menuju tegaknya Negara Islam, agama Islam yang sebelum itu hanya menjadi anutan pengikutnya sahaja kemudian telah bertukar menjadi agama yang memerintah negara dan memerintah dunia. Agama suci ini telah zahir di atas agama-agama yang lain dengan peranan Negara (pemimpin) yang menerap dan mendakwahkannya ke seluruh pelusuk dunia.
Namun malangnya, sejak kejatuhan Daulah Islam lebih kurang 90 tahun yang lalu (28 Rajab 1342H), agama Islam sudah tidak lagi memimpin dunia kerana tidak ada lagi Negara yang menjalankan tanggungjawab ini. Umat Islam pula sering dipalingkan dari makna hijrah yang sebenar oleh para pemimpin dan oleh ulama su’ (buruk) sehingga sudah tidak ada kesedaran dari sebahagian besar umat Islam bahawa hijrah Rasulullah adalah sesungguhnya bermaksud keluar dari Negara Kufur menuju Negara Islam, dan ini merupakan sebuah kewajipan.
Adapun kewajipan mendirikan Negara Islam (Khilafah) merupakan kewajipan daripada Allah SWT untuk menerapkan seluruh syariah Islam (Al-Baqarah ayat 208) sebagai bukti keimanan seorang Muslim kepada Allah SWT. Keberadaan negara (kekuasaan) adalah hal yang mutlak untuk itu.
Kewajipan menegakkan syariah Islam dalam pemerintahan seperti menerapkan hudud, qisas, ta’zir, menetapkan mata wang berdasarkan dinar (emas) dan dirham (perak), mengadili pihak yang bersengketa, menjatuhkan hukuman terhadap pelaku jenayah, mengirim pasukan perang, menjamin pengagihan harta yang adil di tengah-tengah masyarakat, menjamin keperluan asas (basic needs) rakyat, mengambil jizyah, kharaj, ghanimah, jihad dan banyak lagi adalah termasuk dalam bidang kuasa (authority) negara, dan bukannya bidang kuasa mana-mana kelompok atau individu.
Kerana itu, menyatakan Negara Islam tidak wajib adalah sebuah kebodohan yang tidak dapat diterima di dalam agama kerana ia termasuk di dalam hal yang ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah dengan kata lain tidak ada alasan untuk tidak tahu.
Sesungguhnya kewajipan menerapkan syariah Islam secara total, adalah kewajipan mewujudkan sebuah negara yang didasarkan kepada Islam (Khilafah). Kewajipan mulia (menegakkan Khilafah) ini tidak pernah diperdebatkan oleh ulama-ulama tersohor dan mukhlis sebagaimana dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslimnya, “Mereka (para imam mazhab) telah bersepakat bahawa kaum Muslimin wajib mengangkat seorang Khalifah”.

No comments:

Post a Comment