Friday, December 9, 2011

Cerpen - Hijrah Menuju Hidayah


Oleh: Ibn Shams
HUJAN agak lebat di luar. Malam itu aku dan rakan serumah, Adi dan Jon, tidak dapat makan malam di luar. “Hai, nampaknya makan Meggi lah kita malam ni! Beras dah habis. Peti ais pun kosong ja”, Adi memecah kesuraman malam itu. Lalu aku membalas, ”Okeylah ada Meggi. Kalau tak engkau aku sembelih buat sup.” Aku ketawa sambil Adi mencebik mulutnya tanda geram. Aku ke dapur memanaskan air.
“Jon buat apa dalam bilik tu? Asyik berkurung ja?” aku bertanya. “Entahlah, putus cinta kut!” Adi kemudian mengetuk pintu bilik Jon. Jon keluar dengan mukanya yang masam. Aku bertanya mengapa dia masam sahaja. “Kita kan kawan. Ada masalah, ceritalah,” aku menambah.
“Kau orang sedar tak esok Ma’al Hijrah?” Jon bertanya lalu menambah,”Aku nak berhijrahlah.” “Kau nak pindah mana pula ni? Tinggal ja lah dengan kita orang!” Adi menyampuk. “Aku bukan cerita itu! Aku nak berubah. Aku banyak buat silap.” Pelik juga pengakuan mamat seorang ni. Aku memang tak berapa tahu latar belakang Jon ni sebab dia berahsia orangnya. “Dosa apa yang kau dah buat? Jangan kata kau dah rosakkan anak dara orang?” aku berseloroh disambung hilai tawa aku dan Adi. “Betul!” aku dan Adi tersedak mendengar kata-kata Jon itu. Tak pernah terfikir oleh kami Jon seberani itu. “Kau biar betul!” Adi nampak marah betul sampai sudah bersedia hendak menumbuk Jon. “Sabar Adi. Bukan hak kita nak menghukum Jon,” aku cuba menahan Adi.
“Aku dah insaf dan aku nak berhijrah menjadi mukmin yang lebih baik. Aliff, bagaimana dapat aku hapuskan dosa zina aku ni?” Jon nampak ikhlas hendah berubah. “Kalau dalam Islam, kena sebat seratus kali ni baru terampun dosa kau,” aku menjawab. Jon lalu bangun dan menuju ke dapur. Apa pula yang hendak dibuat oleh si mamat seorang ni? “Nah, tolong sebat aku seratus kali!” Jon menghulurkan sebatang penyapu kepadaku lalu menghalakan belakang badannya kepadaku. Aku mengambilnya dan memukul kepala Jon. “Aduh, aku suruh sebat bukan pukul!” Jon menjerit, Adi tertawa.
Aku menerangkan,”Dengan cara ini masih tak terampun dosa kau. Seharusnya penguasa yang menjatuhkan hukuman, bukan orang awam macam aku.” “Aliff betul. Penguasa itu pula mestilah memerintah dengan undang-undang Allah, bukan undang-undang kufur macam sekarang ni,” Adi masih mahu menyampuk. “Wah, dah macam ustaz kau ya Adi! Habis tu, mana aku nak cari negara yang menerapkan undang-undang Islam 100%?” Jon memandang aku dengan wajah keliru. “Tidak ada. Kerana itu kita wajib berusaha mendapatkan hijrah kali kedua. Hijrah dari negara kufur kepada Daulah Islam ala minhaj nubuwwah. Selepas itu barulah hukuman Hudud yang dijalankan akan menghapus dosa kau, Jon.”
Tok! Tok! Bualan kami terhenti ketika pintu rumah sewa kami diketuk. Aku membuka pintu. Kelihatan dua orang anggota polis berpakaian lengkap berdiri di muka pintu. “Encik, kami dari Balai Polis Ampang. Kami mencari Mohd Johari Nasir, dia ada di sini?” “Saya encik. Ada apa ni?” Jon bingkas ke muka pintu. ”Begini encik. Kami telah menemui mayat seorang wanita dan bayi di sebuah rumah sewa. Wanita itu dipercayai membunuh bayi sebelum meminum racun untuk membunuh diri. Encik kenal wanita ini? ” salah seorang anggota polis memberi penerangan dan menunjukkan gambar kepada Jon. “Ini bekas kekasih saya.” “Kalau begitu sila ikut kami ke balai untuk membantu siasatan.”
Astaghfirullahalazim. Aku dan Adi saling berpandangan. Jon berlalu mengikuti anggota polis itu dengan wajah sugul. Malam itu, aku dan Adi tidak banyak berbicara. Kami masih terkesima dengan apa yang berlaku sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment