Thursday, December 8, 2011

Bahaya Penyimpangan Pemikiran Gerakan Islam



Oleh: Mohd Saifuddin Bin Ariffin

Aktiviti dakwah mencakupi beberapa prinsip utama yang sangat ditekankan, diantaranya penetapan tujuan (ghayah), method dakwah (thariqah/manhaj) dan keterikatan dengan hukum syarak. Keterikatan dengan hukum syarak meliputi seluruh amal perbuatan manusia, termasuk aktiviti berpolitik. Oleh itu, aktiviti politik tidak boleh terlepas dari pengaturan syariah, termasuklah tujuan dan method pelaksanaannya. Prinsip ini adalah asas kepada fikih haraki.
Namun realiti hari ini kita melihat banyak terjadi penyimpangan dan penyelewengan, baik menyangkut penetapan tujuan mahupun method dakwah. Misalnya wujud gerakan dakwah yang menetapkan tujuannya adalah ‘membentuk masyarakat madani’. Walaupun denifasinya seakan islami, namun terminologi ‘masyarakat madani’ sebenarnya merujuk kepada konsep civil society, sebuah idea yang lahir pada abad ke-17 (abad pencerahan) di Eropah yang intipatinya merujuk kepada masyarakat sekular dan demokratik yang merupakan antitesis daripada masyarakat yang sebelumya hidup dibawah kekangan sistem monarki dan hemogeni gereja.
Selain penyimpangan tujuan, penyimpangan dalam method dakwah juga sering berlaku. Berpunca dari cengkaman pola fikir pragmatisma yang mengagungkan manfaat yang diperoleh, iaitu prinsip ‘The end justifies the means’ (tujuan menghalalkan segala cara). Inilah prinsip rumusan Nicollo Machiaveli didalam karyanya The Prince.
Sesungguhnya tujuan yang benar, wajib ditempuh dengan jalan yang benar. Islam tidak  memperakui prinsip Machiavelis songsang ini. Yang benar didalam Islam, sebagaimana yang dirumuskan oleh Imam Taqiuddin An-Nabhani, yakni tujuan tidak menghalalkan sebarang cara (Al-ghayah la tubarriru Al-wasilah), berdasarkan firman Allah SWT didalam surah Al-Maidah ayat ke-48 yang bermaksud, “Hendaklah kamu memutuskan perkara diantara mereka menurut apa yang Allah turunkan”. Ayat ini menurut beliau, menjelaskan bahawa perbuatan, baik menyangkut tujuan atau method, mestilah bi ma anzalallah (apa yang Allah turunkan), iaitu dalil syarak bukannya hasil atau manfaat yang diperoleh dari perbuatan.
Maka, jelaslah penyimpangannya jika sesebuah parti atau kelompok Islam yang bertujuan meraih kekuasaan dengan menggunakan strategi atau jalan yang diharamkan, misalnya tidak lagi memperjuangkan syariah sebagai tujuan utama, menjadi parti yang terbuka kepada golongan bukan Islam, berkoalasi/bergabung dengan parti sekular mahupun terlibat dengan sistem pemerintahan sekular.
Semua strategi atau langkah ini tidak mencerminkan method (thariqah/manhaj) yang dituntut oleh Islam, melainkan method yang didasari oleh ideologi kapitalisma, iaitu pragmatisma. Pragmatisma adalah aliran pemikiran yang memandang bahawa benar-tidaknya sesuatu ungkapan, dalil atau teori semata-mata bergantung kepada berfaedah atau tidak perkara tersebut dalam kehidupan. Pragmatisma merupakan budaya dan tradisi Amarika khususnya dan barat amnya, dengan tokoh Willliam James (1842-1920), Charles S. Peirce (1839-1942) dan John Dewey (1859-1952). Jadi parti Islam yang mengamalkan pragmatism sebenarnya bukanlah parti Islam yang sejati, melainkan parti Islam yang diselimuti oleh ideologi kafir penjajah.
Kesimpulan
Strategi menghalalkan segala cara yang ditempuh parti atau kelompok Islam setidaknya menimbulkan bahaya (dharar) bagi tiga pihak. Pertama: Bagi parti Islam yang mengamalkannya. Parti itu akan terancam oleh bahaya ideologi. Maksudnya, ideologi parti, baik fikrah (pemikiran) mahupun thariqah (method) akan mengalami kehancuran. Kedua: bagi masyarakat umum. Ini kerana tindakannya boleh memesongkan pemikiran masyarakat, disamping memperburukkan citra parti Islam dimata masyarakat. Ketiga: Bagi anggota parti Islam itu sendiri. Bahaya ini muncul kerana anggota parti Islam itu umumnya adalah orang-orang yang ikhlas, patuh dan taat kepada kepimpinan (qiyadah) parti, namun dengan tercemarnya pemikiran yang diadaptasi  oleh parti memberikan kesan langsung kepada anggotanya, malahan telah mengkhianati kepercayaan anggota mahupun umat yang menyokong mereka.

No comments:

Post a Comment