Wednesday, December 7, 2011

Cerpen: Hajinya Pak Aji


Oleh: Ibn Shams

“Assalamualaikum,” terdengar suara orang dari luar memberi salam. Aku segera ke pintu untuk menyambut tetamu itu.
                “Walaikumussalam. Eh, Pak Aji! Jemput masuk,” aku mempersilakan orang tua berjubah dan berserban itu masuk ke rumahku. “Ada hajat apa Pak Aji?” “Aku dengar kau nak menunaikan haji, ya?” Pak Aji bertanya. “Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya. Saya pergi dengan emak. Ayah tak dapat pergi sebab uzur,” aku menjawab.
                “Aku bukan apa. Nak bagi nasihat sikit pada engkau. Maklumlah, aku ni kan dah lima kali menunaikan haji.” Aku tersengeh mendengar omongan Pak Aji. Apalah yang difikirkan oleh orang tua ini agaknya. “Aku ni dah jumpa macam-macam orang. Kalau pergi ke sana, jangan main-main. Tu kan tanah haram, silap langkah nanti Allah bayar ‘cash’ je di sana. Ada orang sesat tak jumpa kaabah lah, sakit lah, macam-macam.” Ada-ada sajalah Pak Aji ni. Sebenarnya aku tahu sangat perangai Pak Aji ni. Kalau mana-mana orang kampung nak pergi haji, pasti dia akan ziarah nak menunjuk-nunjuk yang dia dah pergi haji banyak kali. Sudah puas orang kampung menasihatinya tapi dia buat tak endah sahaja.
“Kau tahu, aku dulu lima kali buat haji, lima kali dapat cium hajar aswad tau. Hari-hari aku solat di masjidil haram aku doa menangis-nangis.” Pak Aji menyambung ceritanya itu. “Sudah-sudahlah tu Aji. Masuk yang ini dah sepuluh kali aku dengar cerita engkau tu. Kita pergi haji untuk beribadah, bukan untuk menunjuk-nunjuk,” ayah menyampuk. Aku segera memapah ayah yang baru keluar dari bilik ke kerusi rotan. Ibu keluar dari dapur membawa kopi dan kuih cucur udang.
                “Alah, kau mana tahu! Kau sendiri pun belum pernah pergi haji,” Pak Aji menjeling, agaknya terasa dengan teguran ayah. “Aku ni kan uzur. Cukuplah aku upah orang buat haji.” Seraya mendengar jawapan ayah, Pak Aji menambah,”Ah, mana sama upah orang dengan buat sendiri!” Naik hairan aku melihat telatah Pak Aji ini. Umur sudah lanjut, tetapi masih berperangai macam budak-budak. Buat haji dah banyak kali, tetapi tak macam orang dah pergi haji. Asal balik dari haji, Pak Aji akan bermegah-megah dengan barangan yang dibelinya di sana. Sudah lima kali, bukan sikit tu. Benarlah hidayah itu milik Allah buat orang yang memilih kebaikan.
                “Ni, aku nak tanya kau Aji. Kau dah lima kali pergi haji, tapi kenapa aku tak pernah nampak kau ke masjid? Lagi pelik, asal balik dari masjid sahaja pasti aku lihat kau di kedai kopi. Kau tak solat ke?” terkejut juga aku mendengar soalan pedas keluar dari mulut ayah. “Itulah kau tak tahu. Aku ni dah sampai tahap makrifat. Semua dalam rukun Islam aku dah buat. Mengucap syahadah, solat, puasa, bayar zakat, dan yang terakhir buat haji. Dah cukup lima-lima ni aku buat, dah lengkap la rukun Islam aku. Tak perlulah solat lagi.” Tergelak aku mendengar jawapan Pak Aji itu. Macam ni punya orang pun ada. Ayah tidak puas hati. Beliau menempelak,”Hish, kamu ni! Dari mana kamu belajar Islam macam ni?” “Dari Ustaz Syafie lah, yang datang dari seberang tu. Dia wali agung tahu! Aku sedang berguru dengan dialah ni. Suatu hari nanti aku pasti akan jadi wali macam dia. Rugi kau tak ikut aku,” Pak Aji menjawab dengan bangga. Astaghfirullahal’azim! Aku dan ayah menggeleng kepala.
                “Bawa mengucap Aji. Ajaran sesat mana yang kau ikut ni. Dah terpesong pegangan kau ni. Cepat-cepatlah bertaubat sebelum terlambat. Kita ni bukan muda lagi. Bila-bila sahaja akan dijemput kembali kepada-Nya. Jangan nanti kerugian di akhirat,” ayah bersungguh-sungguh menasihati Pak Aji.
“Ah, jangan kau pandai-pandai nak mengajar aku!” berang dengan nasihat ayah Pak Aji dengan kasar bangun dan keluar dari rumah. Marah sangat nampaknya sampai belum sempat menjamah cucur udang yang emak hidangkan. Aku dan ayah saling berpandangan.
                Ayah menjelaskan inilah bahana tiadanya institusi yang dapat memelihara aqidah umat Islam. Orang Islam mudah terpedaya dengan ajaran sesat. Bukan itu sahaja, malah tidak kurang juga yang murtad. Seharusnya tanggugjawab ini dipikul pemerintah dan bukan hanya mengharapkan badan-badan dakwah mahupun jemaah Islam sahaja yang mengambil tindakan. Pelaksanaan syariat Islam yang sempurna pasti akan dapat memelihara aqidah kita agar tidak terpesong. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment