Thursday, September 8, 2011

Perayaan Aidilfitri Tidak Bermakna Tanpa Khilafah

Oleh: Kalam Putih

GENERASI umat Islam abad ini dibesarkan tanpa naungan sistem pemerintahan Islam iaitu Daulah Khilafah. Sebagaimana ibadah puasa pada bulan Ramadhan yang dirayakan tanpa naungan Daulah Khilafah, perayaan Aidilfitri juga dirayakan tanpa naungan Daulah Khilafah. Selain itu perayaan Aidilfitri ternyata telah terpesong daripada matlamat atau tujuan sebenarnya iaitu meraihkan kemenangan.
Maka, kita akan lihat setelah Ramadhan kian berlalu, umat Islam kini sibuk untuk melakukan persiapan bagi menyambut hari kebesaran umat Islam iaitu Aidilfitri yang merupakan hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat Islam. Persoalannya, adakah umat Islam saat ini benar-benar telah meraih kemenangan sebagaimana yang Allah perintahkan? Apakah kemenangan setelah berpuasa sebulan merupakan kemenangan hakiki umat Islam sehingga tidak ada lagi perjuangan untuk mencapai kemenangan sesudah itu?
Amat berbeza sekali takbir kemenangan yang dilaungkan oleh Rasulullah dan para Khulafa’ dengan laungan takbir kemenangan yang dilaungkan oleh umat Islam pada hari ini. Generasi umat Islam ketika itu bertakbir kemenangan setelah mereka berjaya menguasai dunia dan menerapkan hukum Allah dan seluruh aspek kehidupan.
Namun umat Islam hari ini terlalu jauh berbeza, hukum Allah dicampak ketepi dan digantikan dengan hukum ciptaan manusia, umat Islam dihina dan ditindas di merata dunia tanpa pembelaan. Terlalu banyak sebenarnya yang boleh kita perkatakan dengan keadaan umat Islam yang pada saat ini yang amat jauh dari kehidupan islam yang sebenar.
Takbir raya dikumandangkan setiap tahun, namum kaum Muslimin yang mengumandangkannya, senantiasa dibelenggu kekalahan demi kekalahan, kemerosotan demi kemerosotan, kemunduran demi kemunduran. Pelbagai masalah terus-menerus melanda umat Islam di serata dunia, seolah-olah tidak kunjung padam, baik di dalam mahupun di luar negeri.
Umat Islam di pelbagai negera kaum Muslimin hingga kini masih tetap dalam kemerosotan, kebodohan, dan kemiskinan di tengah-tengah sumber alam mereka yang melimpah ruah. Afganistan dan Iraq, hingga kini tetap diduduki kaum penjajah kafir pimpinan AS. Kaum Muslimin di Palestin juga masih tetap menderita di bawah cengkaman Yahudi Israel.
Di Asia Tengah, seperti Uzbekistan dan Kyrgyzstan, umat Islam masih juga tetap dalam belenggu kekejaman rejim-rejim diktator, yang menjadi ejen kaum kafir penjajah. Dan terbaru umat islam di Syiria sehingga hari ini dibunuh sesuka hati oleh rejim diktator yang amat membenci Islam, namun tiada pembelaan daripada umat islam yang lain. Berdasarkan realiti ini, layakkah kita umat Islam mengatakan bahawa kita telah mencapai kemenangan?
Sebenarnya hakikat kemenangan  bukanlah setakat terpenuhnya tuntutan antara makhluk dan Penciptanya secara individu semata-mata. Namun, kemenangan yang sebenarnya adalah sinonim dengan meletakkan Islam sebagai aturan hidup bagi individu, masyarakat dan negara. Jika kita memerhatikan sejarah, laungan takbir sebagaimana yang kita kumandangkan saat ini, selalunya dikumandangkan ketika kaum Muslimin meraih kemenangan. Inilah takbir yang dikumandangkan pertama kali di saat Perang Badar, di saat kaum Muslimin sedang menunaikan puasa Ramadhan yang pertama, 19 bulan setelah hijrah Rasulullah ke Madinah dan di saat kaum Muslimin meraih kemenangan membebaskan kota Makkah. 
Dari itu, kemenangan yang berhasil diraih kaum Muslimin selepas menjalankan ibadah puasa Ramadhan kali ini, sudah semestinya dibuktikan secara nyata dengan bertambahnya ketaatan mereka kepada Allah - ketaatan yang tidak hanya terbatas dalam urusan ibadah ritual semata, akan tetapi ketaatan yang utuh dan menyeluruh dengan menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya dalam seluruh aspek kehidupan.
Ini bererti, kaum Muslimin wajib menjalankan urusan pemerintahan sesuai dengan aturan Allah; menjalankan urusan ekonomi sesuai dengan perintah Allah; menjalankan urusan politik dalam dan luar negeri sesuai dengan perintah Allah; menjalankan urusan sosial dan budaya sesuai dengan perintah Allah; dan demikian seterusnya.
Barulah pada ketika itu, takbir dilaungkan sebagai ungkapan kemenangan yang nyata, yang berhasil diraih oleh kaum Muslimin dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimat Allah di muka bumi ini. Kemenangan mereka ini hanya akan benar-benar terealisasi dengan tertegaknya hukum-hukum Allah di muka Bumi.
Sedarlah bahawa punca tidak dapat diterapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah kerana umat Islam tidak mempunyai institusi politik (Daulah Khilafah) untuk menerapkan hukum Allah secara menyeluruh. Sesungguhnya wajib menerapan hukum - hukum Allah dalam seluruh aspek  kehidupan sama ada secara individu, bermasyarakat dan bernegara, sekaligus merupakan hasil dalam meraih ketakwaan.
Oleh itu sebagai seorang muslim kita perlu berusaha dan  membulatkan tekad untuk berjuang bagi melanjutkan kembali kehidupan Islam secara kaffah dengan menerapkan syariah dalam seluruh aspek kehidupan dan dengan melantik seorang ketua negara bergelar Khalifah, yang dibai’at untuk menjalankan pemerintahan berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang akan menyatukan kembali negeri-negeri Islam dan umat Muhammad.

Peristiwa Bersejarah Syawal

Oleh: Abu Syakir
DALAM kehadiran dan kemeriahan sambutan Syawal tahun ini, wajarlah juga kita untuk menyingkapi beberapa peristiwa bersejarah yang pernah umat Islam lalui di bulan Syawal:
Sambutan Hari Raya Pertama Umat Islam
Pada tahun ke 2H, umat Islam mula di fardhukan dengan kewajipan puasa dan pada tahun itu juga Rasulullah mengishtiharkan bahawa 1 Syawal adalah hari kebesaran umat Islam sebagai lambang kejayaan umat mengharungi cabaran Ramadhan dengan jayanya. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari keduanya, yaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha".
Kedua-dua hari raya ini telah disambut penuh meriah oleh umat Islam sehingga kini malah semakin hari semakin meriah. Namun begitu umat Islam tidak patut lupa bahawa Rasulullah SAW juga telah mensyaratkan agar umat Islam bertakbir sepanjang menyambut dua hari perayaan tersebut. Sabda Rasulullah SAW: "Hiasilah hari raya kamu dengan takbir" .
Perang Khandak
Perang Khandak telah berlaku pada tahun yang ke-5 Hijrah. Khandak membawa erti 'parit'. Nama ini diambil sempena peristiwa umat Islam bersama-sama Rasulullah SAW telah menggali parit di sekeliling Madinah untuk menghalang tentera kufar dari menawan Madinah. Perang Khandak juga dinamakan perang Ahzab yang bererti 'bersekutu' kerana beberapa puak Quraiysh telah bergabung dengan beberapa puak Yahudi membentuk satu pakatan tentera bersekutu untuk menawan Madinah dan memerangi umat Islam. Peperangan ini berakhir dengan kemenangan tentera Islam dengan bantuan Allah SWT.
Perang Hunain
Perang Hunain terjadi pada 3 Syawal tahun ke-8 Hijrah, 15 hari setelah peristiwa Pembukaan Kota Mekah. Selepas Perang Uhud, umat Islam sekali lagi telah mendapat pengajaran yang amat bernilai iaitu kuantiti bukan faktor utama kemenangan. Semasa perang Hunain, diriwayatkan jumlah umat Islam yang turut sama ikut keluar berperang tidak kurang dari 10,000 orang dan tentera kufar hanyalah 2 puak kecil yang masih degil menentang Islam (puak Hawazan dan puak Tsaqif). Dengan jumlah tentera yang ramai, umat Islam sudah mula berasa bongkak dan takabbur sehingga lupa tentang pertolongan Allah SWT.
Allah telah menguji tentera Islam dengan jebakan (helah) tentera musuh dan tentera Islam telah masuk perangkap. Kacau bilau dan ramai yang melarikan diri. Tentera Islam terpaksa berundur dan menyusun strategi dan bertahan sehinggalah Allah SWT mengurniakan kemenangan untuk tentera Islam.
Lahirnya Imam Bukhari
Muhammad ibnu Ismail adalah nama sebenar Imam Bukhari RH. Beliau lahir di Bukhara, Uzbekistan pada 194H dan meninggal dunia pada 256H. Imam Bukhari lahir dan meninggal pada bulan Syawal. Kitab beliau yang terkenal ialah Sahih Bukhari. Sehingga kini beliau masih berhak digelar 'Ulamak Hadis Nombor Satu'.
Kitab Sahih Bukhari, salah satu kitab hadis terpenting Ahli Sunnah, merupakan salah satu karya utama Imam Bukhari. Karya berharga ini, mengandung 9 ribu hadis pilihan dari 600 ribu hadis lainnya. Beberapa karya tulis penting beliau lainnya adalah Al-Adab Al-Mufrid, Al-Tarikh Al-Kabir, dan Al-Sunan di bidang ilmu fiqh. Seluruh hidup beliau dihabiskan untuk mengkaji, menghafaz dan mencatit hadis-hadis Rasulullah SAW. Hadis-hadis yang diriwayatkan beliau adalah hadis-hadis sahih.

CERPEN: Projek Hari Raya

Oleh: Ibn Shams
PADA minggu lepas, kami ahli Persatuan Agama Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Sungai Layang telah bermesyuarat untuk membuat satu projek kebajikan semasa hari raya ini. Di kampung kami ni memang ramai orang susah. Diketuai Ustaz Hamzah, kami yang dianggotai seramai enam orang pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini tergerak hati untuk memberi sedikit bantuan berupa beras, tepung dan sedikit duit raya. Kami telah meminta izin ibu dan ayah untuk melaksanakan projek ini pada hari raya pertama.

Hari ditunggu telah tiba. Jam menunjukkan hampir pukul dua belas tengahari. Aku, Budi, Amin, Yusri, Karim, dan Zubir telah terpacak di hadapan rumah Ustaz Hamzah. “Hah, apa tercegat lagi? Jom naik kereta ustaz.” Kami pun segera memenuhi kereta Proton Exora milik ustaz.
                Rumah pertama kami pergi ialah rumah Abu. Dia sudah lama tidak hadir ke sekolah. Kami penasaran dan ingin tahu apa yang terjadi kepadanya. Kedatangan kami disambut baik oleh Abu dan ibunya. “Sudah daftar sebagai asnaf ke di Jabatan Agama Islam?” Ustaz Hamzah Bertanya. “Macam mana nak mendaftar, nak ke pekan pun kami tak mampu ustaz. Sejak ayah meninggal, saya terpaksa berhenti sekolah demi mencari nafkah untuk keluarga,” Abu menjawab. Begitu rupanya cerita Abu. Ustaz Hamzah menyampaikan barang-barang dapur dan sedikit sumbangan wang kepada ibu Abu. Ustaz juga berjanji akan membawa perkara ini kepada pihak sekolah untuk membantu Abu sambung belajar.
                “Kasihan Abu ya, ustaz,” aku memulakan perbualan semasa di dalam kereta untuk ke rumah seterusnya. “Itulah. Zaman Khalifah Umar dulu, beliaulah yang berjalan pada malam hari mencari jika ada rakyatnya yang kelaparan. Di zaman kita ni dah tak macam tu. Kalau Daulah Islam itu wujud sekarang ni, Abu pasti akan mendapat pendidikan percuma. Zakat akan segera diagih-agihkan. Khalifah sentiasa bimbang andai ada rakyatnya yang masih kebuluran.” Benar juga kata ustaz. Mengapa ya sistem yang diamalkan khalifah dulu-dulu tidak diamalkan sekarang? Kalau pemimpin sekarang seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, pasti tidak ada lagi rakyat yang layak menerima zakat kerana semuanya tidak layak bergelar asnaf.

Kami meneruskan perjalanan ke beberapa rumah pelajar sekolah kami yang miskin. Rumah terakhir yang kami kunjungi ialah sebuah rumah pondok yang dihuni seorang wanita warga emas. Nama panggilannya Mek Jannah. Beliau hidup sebatang kara sejak kematian suaminya lima tahun yang lepas. Beliau uzur dan tak mampu untuk bekerja. Anak-anaknya ramai, sembilan orang semuanya. Namun sudah bertahun-tahun tidak ada seorang pun anaknya yang pulang menjenguknya di kampung. Kami turut menitiskan air mata mendengarkan luahan hati beliau. Inilah bak kata orang, seorang ibu mampu menyara sepuluh anak. Tetapi sepuluh orang anak belum tentu ada seorang yang mampu menjaga ibunya.

                Aku mula terkenang ayah dan ibu. Abang ku yang sulong juga seperti itu. Sering beraya di Kuala Lumpur, kononnya sibuk dengan kerja. Ibu dan ayah selalu bersedih dengan sikap alongku itu. Melihat keadaan Mek Jannah membuat aku berazam untuk tidak membiarkan mereka keseorangan di hari tua.
                Selesai memberi sumbangan kepada Mek Jannah, Ustaz Hamzah menghantar kami pulang. Di dalam perjalanan pulang, fikiranku melayang memikirkan nasib satu-persatu rumah yang kami kunjungi. Rasa hati ingin sangat hidup di dalam Daulah Islam yang akan membela nasib kaum seperti mereka. Benakku turut memikirkan Mek Jannah. Cerita beliau membuatkan aku semakin rindu dengan ibu dan ayah. Rasa seperti ingin peluk cium dan sujud di kaki mereka. Dari jauh sudah kelihatan rumahku yang semakin hampir. Kelihatan Honda Sivic berhenti di luar rumah. Seorang lelaki dan isterinya keluar dari kereta dan bersalaman dengan ibu dan ayah. “Along dah balik?” hatiku keriangan.