Thursday, August 25, 2011

Ucapan Hari Raya


5 Amalan Agar Sambutan Aidilfitri Menurut Sunnah


Oleh: Abu Bakar

 1. Bertakbir.
Bertakbir pada 1 Syawal sempena Aidilfitri merupakan amalan yang disyariatkan. Firman Allah S.W.T: “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.”  Surah al-Baqarah:185.

2. Mengerjakan Solat Aidilfitri
Amalan utama dalam menyambut Aidilfitri adalah solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat. Ibn Abbas r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989. 

3. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Umat Islam di Malaysia akan mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’ antara satu sama lain. Namun, amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalahsebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:  “Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagianmereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan. 

4. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” - Hadis riwayat Muslim.  Seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah.

 5. Mandi pada pagi hari raya.
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

Sunday, August 7, 2011

RAMADHAN: Semarakkan Ibadah dan Perjuangan

 SYUKUR kehadrat Allah swt kerana memberikan kita semua kesempatan sekali lagi berada dibulan Ramadhan, bulan yang penuh rahmat, barakah, keampunan dan dilimpahi dengan keistimewaan yang tidak terdapat di bulan yang lain seperti turunnya Al-Quran, malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu “Lailatul Qadar” dan syaitan dibelenggu.
                Sesiapa sahaja yang berpuasa kerana mengharapkan redha Allah swt, akan diampunkan dosa-dosa yang lalu seumpama baru dilahirkan dari rahim ibunya. Ibadah sunat dilipat gandakan Allah bersamaan pahala ibadah wajib, dan pahala ibadah wajib sehingga 700 kali ganda. Bulan Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan jihad, dan bulan kemenangan bagi umat Islam. Di bulan ini, Allah swt memberikan kemenagan kepada kaum muslimin ke atas kejayaan pembebasan kota Mekah (fathul Makkah), perang Badar, penaklukan Andalusia dan banyak lagi.
Bulan Ramadhan juga merupakan bulan membaca Al-Quran, bulan mengeluarkan zakat fitrah, bulan memakmurkan masjid, bulan taubat kepada Allah, bulan silaturrahim, bulan menolong mereka yang memerlukan, bulan menjaga lisan dan perbuatan, bulan untuk memperbaharui dan mengukuhkan iman, serta bulan untuk menyucikan hati dan pemikiran. Itulah bulan Ramadhan yang setiap detiknya merupakan kemuliaan dan keutamaan.
                Allah swt mengaitkan puasa di bulan Ramadhan dengan ketaqwaan seperti firmanNya dalam surah Al Baqarah, ayat 183: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin menyebutkan bahawa dengan adanya taqwa dalam diri, setiap muslim memiliki perasaan sangat takut kepada Allah swt, hanya ber­bakti dan tunduk kepada-Nya, serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa.
                Taqwa adalah manifestasi lisan, hati, dan perbuatan. Allah swt berfirman dalam surah Al Hasyr [59] ayat 7 : “Ambillah apa saja yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu. Dan tinggalkanlah apa saja yang dilarangnya kepada kamu; dan bertaqwalah kepada Allah.”
                Allah swt juga berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian semua ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan.”.
                Ayat ini jelas menyatakan Taqwa memerlukan pembuktian dengan mengambil seluruh syari’at Islam, melakukan semua perintah dan meninggalkan apa jua yang dilarang dengan sekuat tenaga tanpa ragu-ragu.
Bulan Ramadhan juga adalah simbol kesatuan umat Islam. Namun, terdapat hikmah yang jarang disedari oleh kaum muslimin, iaitu tuntutan untuk kembalinya kaum muslim menjadi umat yang satu (ummatan wahidah), berpegang taguh kepada Al-Quran sebagai tali Allah Rabbul ‘Alamin, penerapan seluruh hukum Allah swt, serta mengembangkan risalah Islam untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kuno mahupun moden untuk menuju cahaya Islam.
Timbul persoalan! Mengapakah ada perbezaan penetapan awal Ramadhan dan Syawal bagi di negara-negara umat Islam? Agama nasrani walaupun majoriti penganut mereka tidak mengamalkan ajaran kitab bible mereka, tetapi mereka menyambut sambutan Krismas serentak! Bagaimana umat Islam mahu bersatu melawan penindasan kafir laknatullah jika isu yang kecil ini pun gagal diselesaikan?
Islam memang ada penyelesaian terhadap masalah ini. Penetapan awal Ramadhan dan Syawal adalah berdasarkan rukyah (pemerhatian menggunakan mata secara langsung), bukanlah melalui hisab (pengiraan). Dengan kata lain, penetapan hilal (anak bulan) wajib bersandarkan pada kesaksian seorang muslim yang adil yang telah menyaksikan bulan secara langsung, bukan berdasarkan perhitungan. Kesaksian pula cukup dilakukan oleh seorang yang adil. Ini didasarkan pada riwayat berikut;
“Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, ia berkata: Ada seorang Arab mendatangi Rasulullah saw dan berkata: ‘Aku telah melihat bulan (hilal), iaitu bulan Ramadhan.’ Kemudian Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah engkau telah bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar’. Rasulullah bertanya lagi: ‘Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar’. Rasulullah Saw bersabda: ‘Wahai Bilal, berdirilah dan kumandangkan azan, dan beritahu mereka (kaum Muslim) agar berpuasa pada esok hari.”
                Pada zaman yang serba moden dengan kecanggihan teknologi pencerapan hilal dan komunikasi antara negara-negara umat Islam, sepatutnya tiada sebab untuk kita tidak boleh bersatu menyambut hari yang penuh barakah ini bersama kecuali wujudnya faktor-faktor kepentingan tertentu. Impak dari perbezaan ini sebenarnya adalah kesalahan yang serius! Akan ada sebahagian umat Islam di sesetengah negara yang akan berpuasa pada hari yang diharamkan berpuasa (1 syawal). Kita juga akan keliru dalam meramalkan malam lailatul qadar. Rasullullah saw mengatakan lailatul qadar akan datang pada malam ganjil. Jadi, malam ganjil di negara manakah yang akan berlakunya lailatul qadar? Malaysia atau Arab Saudi?
Ada yang mengatakan perbezaan ini adalah khilaf dikalangan ulamak. Tapi, persoalannya, sejauh manakah usaha kita berusaha bersatu mencari penyelesaian agar umat Islam diseluruh dunia dapat menyambut Ramadhan dan Aidilfitri serentak?
                Penyelesaiannya tidak lain iaitu  kembalikan syariat Islam secara Kaffah (keseluruhan). Marilah sama-sama semarakkan sambutan Ramadhan kali ini dengan semangat ibadah dan perjuangan menyeru kepada Islam Kaffah agar umat Islam mampu bangkit dan menjadi umat yang mulia sebagaimana Rasulullah saw, para sahabat dan umat Islam terdahulu.
Selamat menjalani ibadah Ramadhan 1432H.

Sejarah Ibadah Puasa





IBADAH Sawm atau berpuasa di bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Memahami dan mengetahui tentang sejarah Tasyri' ibadah tersebut akan membolehkan kita sampai kepada maksud supaya setiap amal ibadah dilakukan dalam keadaan kita faham dan tahu matlamatnya.
Tahukah anda bilakah Ibadah Puasa Ramadhan mula disyariatkan? Ibadah Puasa Ramadhan telah disyariatkan oleh Allah SWT pada bulan Shaaban tahun kedua Hijrah dengan terwahyunya firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat ke-183, 184 dan 185:
“Wahai orang-orang yang beriman, puasa itu telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa.” (Al Baqarah(2):183)
Sebelum turunnya ayat ini, umat Islam berpuasa wajib pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Apabila Nabi SAW tiba di Madinah semasa peristiwa Hijrah (1 Hijriyah), Baginda mendapati orang-orang Yahudi di situ berpuasa pada 10 Muharram. Lalu Baginda SAW bertanya tentang sebab musabab mereka berpuasa pada hari berkenaan. Orang-orang Yahudi itu menyatakan bahawa pada hari tersebut Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa Alayhissalam dan kaumnya daripada serangan Firaun. Oleh yang demikian, Nabi Musa Alayhissalam telah berpuasa pada 10 Muharram sebagai tanda syukur kepada Allah!
Nabi Muhammad SAW mengulas keterangan mereka itu dengan menyatakan bahawa, “sesungguhnya kami (umat Islam) adalah lebih berhak ke atas Nabi Musa berbanding kamu”. Lalu Baginda SAW berpuasa pada 10 Muharram dan memerintahkan seluruh umat Islam supaya berpuasa. Hal ini diperjelaskan oleh riwayat daripada Aishah Radhiyallahu ‘anha yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim
Selepas turunnya ayat 183 dan 184 Surah al-Baqarah itu, puasa 10 Muharram atau puasa ‘Asyura’ berkenaan bertukar status menjadi sunnah yang digalakkan.
Di bulan Ramadan ini sejarah telah mencatatkan pelbagai peristiwa untuk dikenang. Di bulan inilah al-Qur’an mula diturunkan dengan turunnya ayat yang pertama sehingga yang kelima surah al-‘Alaq kepada Rasulullah SAW semasa Baginda di gua Hira’. Berikut dicatatkan sebahagian daripada peristiwa penting yang berlaku pada bulan Ramadan bagi tatapan dan renungan kita.
Bil
Peristiwa Penting di
Bulan Ramadan
Tahun
Catatan
1
Peperangan Badar al-Kubra
2 H
Kemenangan peperanagn pertama umat Islam menghadapi musyrikin Mekah
2
Pembukaan Kota Mekah
8 H
Rasulullah mengutuskan sahabat memusnahkan berhala
3
Peperangan Tabuk
9 H
Peperangan dengan tentera Rom
4
Penaklukan Rude
53 H
Pejuang Islam menakluki Rhodesia
5
Pembukaan Selatan Andalusia (Spanyol)
92 H
Tentera Islam dipimpin Tariq bin Ziyad dapat mengalahkan Raja Rodrik di dalam satu peperangan sengit.
6
Kemunculan Pemerintahan Khilafah Abbasiyah
129 H
Kemenangan ke atas Khurasan dan kemudian perlantikan khalifah Abbasiyah yang pertama.
7
Universiti  al-Azhar siap dibina
361 H
Tempat berbicara dan mengajarkan ilmu-ilmu Arab dan syariat Islam.
8
Perang Salib
584 H
Salahuddin al-Ayubi membebaskan semula sebahagian besar wilayah Islam yang pernah dikuasai oleh kaum Salib
9
Kemenangan ke atas tentera Tartar
658 H
Kerajaan mamalik dapat mengalahkan dan membendung kemaraan tentera Tartar di 'Ain Jalud.

Ramadhan Untukku






JAM menunjukkan pukul enam setengah petang. Aku berjalan masuk ke dalam masjid menuju sekelompok mahasiswa yang sedang khusyuk mendengar ceramah Ustaz Fazwan. Hari ini hari pertama puasa. Aku dapat meneka sudah pasti tajuk ceramah hari ini berkisar topik Ramadhan. Ustaz Fazwan adalah individu yang banyak berjasa kepadaku. Aku mula rapat dengannya sejak setahun yang lalu. Banyak ilmu agama yang aku pelajari daripadanya.

Aku duduk di barisan agak belakang, namun suara Ustaz Fazwan yang lantang tetap jelas kedengaran.
“Kenapa lambat?” Joey mencuitku.
“Baru habis kelas,” jawab ku ringkas. “Aku ada berita tentang kawan kita Black. Nanti aku beritahu,” Joey menambah. Kami tidak meneruskan perbualan kerana mahu mendengar ceramah tentang Ramadhan tersebut.
“Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja bahkan tanpa ada keuzuran, maka dia berdosa besar,” terdengar Ustaz Fazwan berceramah. Kata-katanya itu menusuk kalbuku. Fikiranku melayang mengenang peristiwa setahun yang lepas.
“Kita hendak projek di mana ni, Joey?” aku bertanya. “Tempat baik punya. Ikut sahajalah,” Joey menjawab ringkas bagai malas hendak melayan soalanku. Kami menyusuri denai kecil menembusi semak dan belukar di belakang kolej kediaman. Tiga sahabatku yang lain sedang menunggu kedatangan kami. Kami telah merancang untuk menjamu selera bersama dengan nasi ayam yang dibeli Black pagi tadi.
                “Boleh tahan juga nasi ayam engkau ni Black. Pandai kau masak,” aku berseloroh disambung dengan hilai tawa anak-anak muda yang leka memuas nafsu kebulur.
         Bulan Ramadhan ataupun bulan lain terlihat sama sahaja bagiku. Bukannya aku tak faham agama. Tetapi kerana pengaruh kawan, aku turutkan jua. Pernah aku ditegur rakan sebilikku, Zubair. “Alah, ramai orang di luar sana berpuasa tapi tak solat pun. Sekurang-kurangnya aku solat,” Zubair yang sudah lima tahun masuk Islam itu menggeleng kepala mendengar jawapanku.
“Hoi, tak puasa ya! Jangan lari!” tiba-tiba kami dikejutkan oleh suatu suara yang kasar. Rupa-rupanya suara orang-orang masjid yang menjalankan operasi menangkap orang yang tidak puasa. Black cuba lari tetapi tersungkur menyembah bumi.  Beberapa orang petugas menangkapku. Terlihat olehku jasad Black yang kaku tidak bergerak. Dua orang petugas mengangkat sekujur tubuh Black. Darah merah pekat mengalir dari ubun- ubunnya. Kami diasak ke dalam van jenazah. Kaget kami melihat keadaan Black. Dia diusung menaiki kereta salah seorang petugas untuk dibawa ke hospital. Kami  bertiga pula diarak menaiki van jenazah mengelilingi kampus universiti.
                Semenjak hari itu, aku dan yang lain diwajibkan menghadiri kelas pemulihan setiap minggu. Sejak itu juga aku mula rapat dengan Ustaz Fazwan. Dengannyalah aku belajar agama yang selama ini aku ketandusan. Black ditempatkan di unit rawatan rapi. Dengarnya, luka di kepalanya parah.
“Jauh kau termenung Fathi,” lamunanku dikejutkan oleh suara yang amat ku kenal, Ustaz Fazwan. Tangan kanannya menepuk bahuku. Aku hanya tersenyum. Tidak kusedari yang ceramah telah pun berakhir. “Yang lepas tu biarlah berlalu. Kita buka lembaran baru,” pensyarah Fakulti Pengajian Islam itu seolah-olah mengerti akan apa yang aku fikirkan.
                “Ustaz, kenapa ada orang yang degil walaupun telah tahu keharaman sesuatu perkara itu?,” tanyaku.
“Makanya harus ada undang-undang Islam yang akan menghukum orang-orang degil ini.”
“Mana nak cari undang-undang Islam di zaman demokrasi ni ustaz? Hudud itu ‘terrorrist’. Agama itu ekstrimis.” Ustaz Fazwan hanya ketawa kecil. Dia tidak pernah jemu menjawab soalan anak didiknya ini.
“Penerapan hukum Allah hanya akan terjadi sekiranya adanya Daulah Islam.” Belum pun sempat aku hendak melanjutkan pertanyaan, Ustaz Fazwan terus menjawab, “Makanya kita perlu melakukan kerja dakwah.” Aku ketawa kecil.
Azan maghrib telah kedengaran. Ya Allah! Aku benar-benar berdosa. Ampunilah aku ya Allah. Apakah masih ada Ramadhan akan datang untukku?