Thursday, November 10, 2011

Politik Adalah Kefardhuan


Oleh: Mohd Saifuddin Bin Ariffin

WUJUD sekelompok umat Islam yang berpandangan bahawa Islam terpisah sama sekali dari politik. Islam adalah wahyu, sedangkan politik adalah kejahatan, propaganda dan permainan kotor manusia. Bagi mereka, mencampurkan Islam dengan politik mencemar kesucian Islam. Lebih-lebih lagi kerana ada ahli politik yang menggunakan Islam  untuk menjustifikasikan agenda politik mereka.
Politik Adalah Sebahagian Daripada Islam
Politik didalam bahasa arab dikenali sebagai istilah siyasah.  Syaikh Abdul Qadim Zallum didalam kitabnya Al-afkaru Siyasi mendefinasikan politik sebagai ‘Aktiviti mengatur urusan umat, baik didalam mahupun diluar negara yang berlandaskan hukum syarak’. Rasulullah SAW sendiri pernah mengunakan istilah politik (siyasah) seperti sabdanya;
‘Adalah Bani Israel, mereka diurusi urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, maka datang nabi yang lain menggantikannya. Tidak ada nabi lagi selepasku, namun akan ada banyak Khalifah yang mengurusi kalian’ (HR Bukhari & Muslim).
Definasi ini semestinya jauh sekali dengan perspektif politik yang difahami majoriti masyarakat hari ini. Aktiviti politik melibatkan pemerintah dan juga masyarakat., Negara berfungsi untuk mempraktikalkan ajaran Islam dan masyarakat pula, disatu sisi bertindak sebagai pemuhasabah terhadap pemerintah dalam melakukan urusan rakyatnya.
Setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlu melibatkan diri dengan aktiviti politik, iaitu peka dengan segenap isu yang berlaku didalam dan diluar negara, membongkar kezaliman, menuntut keadilan dan menasihati pemimpin yang menderhakai Allah dan RasulNya. Peranan ini adalah perintah dari Allah SWT melalui lisan Rasulullah SAW didalam sebuah hadis yang bersifat mutawwatir bi makna ini, ‘Barang siapa yang bangun pada pagi hari dengan perhatiannya selain Allah, maka dia bukanlah hamba Allah, dan sesiapa sahaja yang bangun pagi hari namun tidak memerhatikan urusan kaum muslimin, maka ia bukan dari golongan mereka’. (HR Al hakim)
Rasulullah SAW ditanya sahabat tentang jihad yang paling utama, lantas Baginda menjawab, ‘Kalimah haq yang disampaikan kepada penguasa yang keji’. (HR Ahmad)
Politik sekular yang berprinsip matlamat menghalalkan cara untuk meraih kuasa, hendaklah dihapuskan sepenuhnya. Pemikiran berbahaya inilah yang selama ini menjahanamkan kesatuan umat Islam dengan konflik politik yang busuk, fitnah menfitnah, jatuh menjatuhkan, bahkan kafir mengkafirkan. Sebagai seorang muslim yang merindukan kebangkitan Islam, janganlah terperangkap dengan permainan ini yang disogok dan dicipta oleh musuh Islam untuk memesongkan tujuan sebenar kita.
Politik seseorang muslim tidak boleh lari dengan usaha menerapkan dan menegakkan ajaran Islam dalam segala aspek kehidupan. Islamlah satu-satunya sumber politik seseorang yang berakidahkan Islam, seperti yang diteladani oleh Rasulullah SAW. Politik bukanlah sesuatu yang terpisah dari ajaran Islam, bahkan ajaran Islamlah (dengan jalan politik) yang memberi kehidupan dalam hidup ini. Wallahu muwafiq ila aqwamit thariq.

No comments:

Post a Comment