Oleh: Abu
Kauthar
ZAMAN kegemilangan Islam bukan hanya dilihat
kerana kejayaannya menguasai 2/3 dunia, tetapi juga kerana berjayanya sistem
pendidikan Islam yang melahirkan tokoh-tokoh intelektual yang hebat. Sesungguhnya Islam itu agama yang menyeluruh, maka
pendidikan Islam juga berpaksikan dasar dan kerangka yang sama iaitu bersifat
komprehensif, terorganisasi, bermatlamat, dan merangkumi segenap aspek. Arah
tuju pendidikan Islam boleh dibahagikan kepada dua matlamat utama:
Pertama,
keperibadian (syakhsiyah) Islam. Maksud keperibadian di sini bukanlah akhlak
semata-mata. Keperibadian Islam berdiri dengan dua aspek iaitu aspek pemikiran
dan aspek sikap. Pembentukan keperibadian mestilah didasari oleh akidah yang
muncul dari proses pemikiran yang mendalam dan dilenturi sikap istiqamah supaya
tidak terkeluar dari ketetapan aqidah. Disusuli pula dengan peningkatan dan
pemantapan tsaqafah (ilmu) Islam.
Kedua, penguasaan ilmu
pengetahuan. Ilmu-ilmu ini merangkumi semua jenis ilmu yang ada di dunia ini.
Para Fuqaha’ telah mengkategorikan bahagian ilmu itu kepada dua komponen besar
iaitu:
·
Ilmu fardu
'ain, iaitu ilmu Islam
yang wajib dipelajari setiap Muslim yang terdiri daripada hukum dan syariat
Islam seperti Rukun- Rukun Islam dan Iman, mua’malah Islam, sirah Nabi s.a.w.,
Ulumul Quran, dan sebagainya. Ilmu inilah yang harus diberi keutamaan kerana
keterangkumannya dalam segenap aspek juga merupakan teras bagi penguasaan
kategori ilmu yang berikutnya.
·
Ilmu fardu
kifayah, iaitu ilmu-ilmu yang berkaitan realiti
kehidupan dan kemaslahatan masyarakat meliputi pelbagai aspek. Rangkumannya
meliputi sains dan teknologi, ilmu-ilmu alam dan praktikal serta kemahiran
seperti ilmu kejuruteraan, fizik, kimia, komputer, rekacipta dan sebagainya.
Ilmu kategori inilah yang mesti diawasi kerana kecenderungannya untuk pergi
kepada penghasilan teori-teori yang bertentangan dengan Islam seperti teori
evolusi Darwin, ilmu pengklonan manusia, dan lain-lain ilmu yang merosakkan.
Pendidikan
Bersepadu
Bagi menghasilkan keberkesanan
matlamat dan hasil, beberapa perkara harus menjadi perhatian:
Pertama, arah tuju
pendidikan yang berorentasikan akidah Islam. Kedua, institusi
pendidikan, keluarga dan masyarakat. Ketiga-tiga unsur ini mestilah juga
dibangunkan dengan dasar akidah kerana individu bukan hanya berada di sekolah
semata-mata, malah masa yang lama adalah berada di rumah dan berinteraksi
dengan masyarakat.
Ketiga, strategi
penyusunan kurikulum pendidikan dan tahap yang dilalui. Ciri-ciri pendidikan
Islam antara lain:
·
Kurikulum
pendidikan Islam yang paradigmatic. Berbeza dengan pendidikan hari ini yang bermatlamat
melahirkan tenaga kerja sahaja, atau yang melahirkan generasi pintar tetapi materialistik
dan individualistik (Luqman [31]: 13 - 27).
·
Pendidikan
Islam berpijak di bumi yang nyata. Belajar bukan sekadar ilmu dan kata-kata.
Allah telah melaknat orang-orang yang mengatakan sesuatu yang tidak dia
kerjakan (Ash-Shaff [61]: 3)
·
Keutamaan
disesuaikan dengan keperluan hukum syarak. Kaedah usul menyatakan “Jika tidak
sempurna sesuatu kewajipan tanpa sesuatu, maka sesuatu tersebut menjadi wajib.”
Ini bermaksud, amal yang merupakan fardhu ain seperti ibadah fardhu, mencari
rezeki yang halal, muamalah yang sah dan sebagainya, maka mempelajari ilmunya
juga adalah fardu ain. Sedangkan perkara yang haram seperti ilmu hitam, maka
haram pula menuntutnya.
Tanggungjawab kejayaan pendidikan pada
masyarakat, umpama sebuah bahtera yang sedang belayar, faktor kekukuhan,
nakhoda dan penumpang diambil kira sebagai perkara yang memungkinkan sampainya
bahtera tersebut ke tempat yang hendak dituju.
Khalifah
Umar bin al-Khaththab dalam penyusunan struktur pendidikan yang ditulis kepada
wali-walinya meletakkan asas pendidikan: “Sesudah itu (pendidikan agama),
ajarkanlah kepada anak-anakmu berenang dan menunggang kuda, dan ceritakan
kepada mereka adab sopan-santun dan syair-syair yang baik.”
Khatimah
Islam memberikan penyelesaian
terhadap semua masalah yang dihadapi oleh manusia sepanjang zaman. Penyelesaian
yang disajikan Islam pastinya selaras dengan fitrah manusiawi. Dalam konteks
pendidikan pula, Islam telah menentukan bahawa Negara wajib untuk mengatur
segala aspek yang berkenaan dengan sistem pendidikan agar selari dengan roh
Islam dan berusaha agar pendidikan dapat dinikmati oleh rakyat secara mudah.
Sudah lebih 50 tahun Malaysia
merdeka, namun berapa ramaikah mujtahid yang dihasilkan? Inilah buktinya sistem
pendidikan di Malaysia bukan berteraskan Islam.
Hanya
dengan sistem pendidikan Islam, Islam mampu mencapai ketamadunan yang tinggi
dan melahirkan tokoh sehebat Al-Khawarizmi, Imam Syafi’e, ibnu Rusyd,
al-Battani dan lain-lain. Sistem
pendidikan Islam mampu membentuk generasi muda Islam yang bertaqwa dan berfikiran
kelas pertama. Sistem pendidikan Islam ini jugalah adalah jawapan kepada 1001
masalah gejala sosial remaja dan semakin hari semakin parah kini.
No comments:
Post a Comment