Oleh: Hamzah M. Yunus
Ilmu pengetahuan
merupakan sesuatu yang sangat penting dan utama dalam membentuk bukan sahaja peribadi
muslim yang sejati malah sebagai insan yang berkualiti untuk membangunkan
darjat dan martabat manusia. Allah Al Khaliq s.w.t di dalam firmannya:
“supaya Allah meninggikan darjat
orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu
pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah
Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”(TMQ 58:11)
Sistem pendidikan sering dikaitkan dengan
kemajuan ekonomi sesebuah Negara. Ahli akademik kontemporer telah melakukan
pelbagai kajian hubungan antara pendidikan dan pertumbuhan ekonomi. Menurut
Jurges dan Schneider (2004) setiap peningkatan perbelanjaan negara terhadap
pendidikan dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara secara significant.
Bagi Malaysia
pula, R. Ramesh dan Rohana (2009) juga Rahmah dan Doris Padmini (1999)
menyatakan sektor pendidikan telah menyumbang ke arah pembangunan modal insan
yang berkemampuan membantu negara ini untuk bersaing di peringkat global.
Berdasarkan dari kajian yang dilakukan di kesatuan Eropah telah menemukan
bahawa setiap satu tahun peningkatan tempoh pendidikan lanjutan atau latihan
kemahiran kepada para perkerja dapat menyumbang kepada 45% peningkatan
produktiviti tahunan.
Walaupun begitu, usaha pembangunan ekonomi
melalui pendidikan ini bukanlah sesuatu yang mudah disaat kita sedang dibelenggu
sistem kehidupan kapitalisme dan sekular. Kos pendidikan ketika ini boleh
dianggap mahal atau membebankan dari pelajar sekolah sehinggalah ke peringkat
lepasan ijazah. Walhal, sepatutnya pendidikan adalah tanggungjawab negara yang
perlu disediakan secara percuma (pada peringkat rendah sehingga menengah) dan
sebaik mungkin kepada setiap lapisan warganegaranya. Penulisan ini bakal
membincangkan permasalahan ini dan solusinya menurut Islam.
Beban kewangan dan pincangnya sektor pendidikan masa kini
Lazim kita dengari keluhan ibubapa yang terbeban apabila musim
persekolahan bermula kerana menanggung yuran, buku dan pelbagai lagi kos lain.
Perkara yang sama juga menimpa mahasiswa di IPTA atau lebih buruk lagi di IPTS.
Ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut malahan bekerja sambilan untuk
menampung kos kehidupan dan kos pengajian. Pengajian di peringkat ijazah
sarjana muda sains dan teknologi di IPTA secara puratan menelan kos sehingga
RM1,500 per semester. Untuk kursus yang sama di IPTS pula puratanya menelan
belanja sehingga RM6,000 per semester.
Perkara yang sama juga berlaku di negara-negara
maju seperti US dan UK sehingga menjadi rusuhan pelajar pada tahun 2010 (lihat:
www.telegraph.co.uk dan
www.reuters.com). Kadar yuran pengajian di Universiti California, USA telah meningkat sehingga melebihi US$10,000
setahun dan universiti ini adalah universiti awam.
Majoriti mahasiswa terpaksa menanggung beban
kewangan ini dengan memohon pinjaman PTPTN. Pinjaman ini diwujudkan oleh
kerajaan akibat terhadnya sumber kewangan negara untuk menawarkan biasiswa
kepada para pelajar. Bukan sahaja pinjaman ini besar jumlahnya (kesan dari kos
pengajian yang besar) tetapi seperti pinjaman-pinjaman yang lain, PTPTN datang
bersama kos bunga atau riba’ di dalam pelan pembayaran semula. Maka, mahasiswa
bukan sahaja terpaksa menanggung hutang yang besar malah terpaksa melakukan
dosa besar akibat pinjaman yang berunsur riba’.
Secara anggaran, mahasiswa IPTA bakal menanggung
beban hutang PTPTN melebihi RM30,000. Manakala mahasiswa IPTS bakal menanggung
hutang pengajian lebih RM150,000. Hutang yang tinggi ini pasti memudaratkan
keseimbangan kewangan mereka selepas tamat pengajian kelak. Contohnya seorang
graduan kejuruteraan yang memperolehi gaji sebanyak RM2,200 bersih selepas
cukai dan EPF terpaksa membayar hutang pengajian sehingga RM250 sebulan. Maka
apa yang tinggal untuk mereka belanjakan adalah sangat terhad dan tidak
mencukupi.
Perkara ini diburukkan lagi dengan beban kerja
yang begitu menindas. Majikan akan memerah segala keringat pekerja mereka
melebihi ganjaran yang setimpal. Perkara ini berlaku kerana majikan pada masa
kini terpaksa menanggung kos-kos lain yang sepatutnya di tanggung oleh negara.
Contohnya kos kesihatan dan kebajikan pekerja.
Pendidikan Yang Melahirkan Modal Insan Yang Korup
Pendidikan yang
berkualiti akan melahirkan insan yang juga berkualiti. Namun, kualiti ini
perlulah diukur dari aspek pandangan islami yang melihat setiap insan yang
lahir hendaklah menjalani kehidupan seharian mereka menurut tuntutan dan
larangan hukum syarak. Pendidikan yang berkualiti ini juga akan membentuk insan
yang mempunyai ‘syaksiyah islamiyah’
(keperibadian Islam) dan matlamat hidupnya untuk mencari keredhaan Allah dan
mencapai kejayaan di dunia dan juga akhirat.
Tetapi dengan sistem pendidikan yang ada hari
kini, tuntutan ini hampir atau gagal sama sekali di realisasikan. Ini dapat
dilihat daripada sikap dan perlakuan para pelajar dan siswazah yang tidak segan
silu melakukan segala bentuk pelanggaran hukum syarak seperti berzina, memukul
cikgu, penipuan dan amalan rasuah apabila telah bekerja.
Menurut Syed Azizi (1995) tanggapan
terhadap rasuah dan ‘wang pelincir’ dikalangan masyarakat di negara membangun
adalah sesuatu yang normal iaitu dapat di terima sebagai kebiasaan. Lebih
memeranjatkan, kajian ini lakukan dikalangan para siswazah perniagaan di
negara-negara Asia Tenggara (termasuk Malaysia). Maka tidak hairanlah apabila
terdapat aduan negatif daripada kalangan para peniaga dan pelabur asing
terhadap kegiatan rasuah di negara-negara membangun terutama Asia Tenggara.
Tambahan lagi
menurut laporan bancian penipuan 2011 yang dilakukan oleh Ernst & Young
(firma perakaunan antarabangsa) di negara-negara Eropah menemui 1 dari 5 (20%)
eksekutif mempunyai sikap boleh bertoleransi terhadap kegiatan rasuah untuk
mendapatkan projek atau kerja yang boleh menguntungkan syarikat. Manakala 1/4
atau 25% dari kalangan eksekutif menganggap pihak pengurusan syarikat tidak
menjalankan perniagaan secara beretika (termasuk menipu dan rasuah). Kajian ini
juga menemui 1/3 atau lebih 30% responden menganggap rasuah dan penipuan itu
masih lagi berleluasa.
Menurut laporan
bancian penipuan 2011 di Singapura yang dilakukan oleh KPMG (firma perakaunan
antarabangsa) juga telah menemui perkara yang hampir serupa di Eropah. Kajian
ini telah menemui lebih 20% syarikat di Singapura telah mengalami kes penipuan
sepanjang 2 tahun yang lepas. 50% daripadanya adalah dikalangan para pekerja
sendiri dan 20% dikalangan pihak pengurusan.
Berdasarkan hasil
kajian dan bancian ini membuktikan kegagalan polisi atau ekosistem pendidikan kapitalisme
sekular ini telah gagal untuk membentuk peribadi manusia yang mulia dan sesuai
dengan norma-norma sifat kemanusian apalagi membentuk peribadi muslim sejati.
Punca Masalah dan Penyelesainnya
Allah telah memberikan peringatan kepada kita, sistem
pengaturan kehidupan ini mestilah berdasarkan Islam. Jika tidak, bersedialah
untuk menerima segala ‘bala’ atau kesusahan akibat dari penyelewangan ini
(tidak menerapkan Islam). Firman-Nya:
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum
di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau
menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak
memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.
Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka
ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari
dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah
orang-orang yang fasik.”(TMQ 5:49)
Beban kewangan yang menindas para pelajar dan
siswazah ini tidak lain dan tidak bukan terhasil dari sistem kapitalisme yang
memandang bahawa pendidikan masakini adalah suatu perniagaan yang boleh
menguntungkan negara. Kerana itu tidak hairanlah pada masakini pendidikan itu
dikategorikan sebagai industri walhal sebenarnya pendidikan adalah perkhidmatan
layanan negara terhadap rakyatnya.
Pendidikan yang diperniagakan ini bakal menjimatkan sebahagian dari
pendapatan negara kapitalis (hasil cukai dan bukan cukai) dari menanggung
segala kos berkaitan pendidikan. Alasan Polisi ini dibuat bahawa negara sudah tidak
mampu menampung kos pendidikan yang meningkat, kerana jika terus memberikan
bantuan atau subsidi maka negara akan kehilangan sumber kewangan untuk
pembangunan yang lain. Ini sebenarnya adalah alasan yang bersifat ‘escapism’
dari tanggungjawab.
Salah-satu agenda didalam Economic Transformation Program (ETP, Malaysia) adalah mengubah
polisi pendidikan sedia ada supaya lebih menguntungkan pihak pendidik swasta
dan negara dalam mencapai objektif negara berpendapatan tinggi. Keputusan ini
dihasilkan daripada analisa yang menunjukkan bahawa sektor pendidikan
menyumbang kepada pada kadar penumbuhan yang tinggi iaitu 6% kepada GDP atau
KDNK Negara. Malahan pendidikan awam atau swasta juga adalah penyumbang yang
tinggi kepada kesan gandaan pengeluaran (output multiplying-effect) yang
terbesar di Malaysia iaitu 2.34 kali gandaan. Maknanya setiap RM1 yang
dilaburkan boleh meningkatkan RM2.34 kesan pengeluaran sampingan atau berkaitan
kepada sektor-sektor lain. Maka tidak hairanlah jika dianggap pendidikan suatu
perniagaan.
Hasilnya, rakyat terjerat dan manfaatnya dinikmati
oleh golongan tertentu dan berkemampuan sahaja. Negara juga berpeluang untuk
mencipta pendapatan daripada pinjaman berunsurkan riba’ yang mana ia dianggap
sebagai keuntungan sambil membantu. Sehingga tahun ini sahaja,
jumlah pinjaman PTPTN yang telah diberikan kepada 1.8 juta penuntut IPT hampir
RM40billion dan untuk tahun 2011 sahaja RM4 billion telah diluluskan (Mingguan
Malaysia 21/8/2011). Bayangkan berapa banyak keuntungan riba’ yang bakal
diperolehi oleh negara jika peratus keuntungan
mereka adalah 1% setahun atas baki.
Bagi permasalahan akhlak para pelajar yang
membimbangkan saat ini pula sebenarnya terkait dengan intipati objektif
pendidikan yang digubal. Objektif pendidikan kapitalisme hari ini tidak lebih
dari ingin menghasilkan manusia yang bersifat mesin yang dapat membantu kepada pertumbuhan ekonomi negara. Peringkat
sekolah hinggalah di IPT, objektifnya adalah untuk mencari ilmu untuk berjaya
secara material semata-mata. Para pelajar disogokkan dengan kejayaan dan
kemewahan para jurutera, usahawan, doktor dan angkasawan yang berjaya tetapi
tiada nilai akhlak yang dapat diselitkan kepada role model tersebut. Persoalan mencipta kejayaan material
diagung-agungkan, tetapi kejayaan untuk mendapat redha Allah dan menggapai
syurga dilupakan sama sekali.
Idea ini telah menyerap dan berakar umbi dari
para pendidik sehinggalah ibu-bapa yang menjaga para pelajar ini hasil dari
penerapan idea oleh tangan-tangan pemerintah yang sekular agen kepada
kapitalisme. Maka tidak hairanlah apabila para pelajar yang bakal menjadi modal
insan ini tidak segan silu untuk melakukan perbuatan keji dan hina asalkan
mereka boleh bermegah-megah dengan kejayaan material yang dikecapi di dunia
ini.
Selain itu, pembentukan keperibadian akhlak
diserahkan oleh negara secara total kepada ibu-bapa. Jika anak ramaja menjadi
mat rempit dan bohsia sekalipun, mereka akan menyalahkan pendidikkan dirumah
tanpa melihat kesilapan polisi dan peraturan negara yang mereka ambil dan
terapkan ke atas rakyat. Sikap melepaskan tanggungjawap ini memburukkan lagi
keadaan pendidikan masa kini.
Penyelesaian kepada isu-isu ini perlu
dilihat dari aspek bagaimana peraturan hakiki yang perlu diterapkan sesuai
dengan kehendak Allah Maha Pencipta makhlukNya. Lihat sahaja dari perpektif
penyediaan pendidikan didalam Islam yang wajib diberikan secara percuma (bukan
sekadar yuran) akan dapat menjamin peluang yang luas kepada semua lapisan
masyarakat tidak kira muslim atau non-muslim untuk belajar bersama-sama didalam
suasana yang berkualiti. Ini secara khusus boleh menghilangkan segala
permasalahan penindasan oleh pihak institusi pengajian yang dialami para
pelajar masa kini yang berkaitan dengan yuran, buku, penginapan dan lain-lain
lagi. Maka tidak kira miskin atau kaya bakal mendapat peluang yang sama untuk
belajar. Alangkah indahnya Islam.
Berkaitan dengan akhlak pula, sudah pasti dengan
penerapan kurikulum dan penyampaian yang berasaskan Islam bakal membina dan
membentuk modal insan yang berkeperibadian mulia mengikut ‘syaksiyah islamiyah’(keperibadian Islam). Ini bukan saja secara
langsung dapat menyelesaikan pelbagai gejala masalah sosial yang menimpa,
malahan dapat menyelamatkan ekonomi negara dari terus diselewengkan kepada
perkara-perkara yang tidak bermanafaat.
Kesimpulan
Simpati kita melihat siswazah terpaksa
bertungkus-lumus belajar dengan kos yang tinggi dan menindas, tetapi selepas
selesai menamatkan pengajian, mereka adalah orang yang sama sebelum menerima
pendidikan. Mereka tetap bersifat individualistik, mementingkan material dan
memandang akhlak sebagai supplementary
dan bukannya elementary. Lebih
simpati lagi apa yang mereka jalani di kehidupan masa kini rata-ratanya tidak
memberikan mereka kejayaan di akhirat kelak.
Oleh itu hanya Sistem pendidikan Islam sahajalah
yang dapat memperbetulkan perkara ini dengan jalan yang benar. Ini kerana hanya
Sistem Islam itu sajalah yang sesuai dengan fitrah manusia yang bakal
melahirkan cara kehidupan yang harmoni, tenang dan sejahtera. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment