Thursday, September 8, 2011

CERPEN: Projek Hari Raya

Oleh: Ibn Shams
PADA minggu lepas, kami ahli Persatuan Agama Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Sungai Layang telah bermesyuarat untuk membuat satu projek kebajikan semasa hari raya ini. Di kampung kami ni memang ramai orang susah. Diketuai Ustaz Hamzah, kami yang dianggotai seramai enam orang pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini tergerak hati untuk memberi sedikit bantuan berupa beras, tepung dan sedikit duit raya. Kami telah meminta izin ibu dan ayah untuk melaksanakan projek ini pada hari raya pertama.

Hari ditunggu telah tiba. Jam menunjukkan hampir pukul dua belas tengahari. Aku, Budi, Amin, Yusri, Karim, dan Zubir telah terpacak di hadapan rumah Ustaz Hamzah. “Hah, apa tercegat lagi? Jom naik kereta ustaz.” Kami pun segera memenuhi kereta Proton Exora milik ustaz.
                Rumah pertama kami pergi ialah rumah Abu. Dia sudah lama tidak hadir ke sekolah. Kami penasaran dan ingin tahu apa yang terjadi kepadanya. Kedatangan kami disambut baik oleh Abu dan ibunya. “Sudah daftar sebagai asnaf ke di Jabatan Agama Islam?” Ustaz Hamzah Bertanya. “Macam mana nak mendaftar, nak ke pekan pun kami tak mampu ustaz. Sejak ayah meninggal, saya terpaksa berhenti sekolah demi mencari nafkah untuk keluarga,” Abu menjawab. Begitu rupanya cerita Abu. Ustaz Hamzah menyampaikan barang-barang dapur dan sedikit sumbangan wang kepada ibu Abu. Ustaz juga berjanji akan membawa perkara ini kepada pihak sekolah untuk membantu Abu sambung belajar.
                “Kasihan Abu ya, ustaz,” aku memulakan perbualan semasa di dalam kereta untuk ke rumah seterusnya. “Itulah. Zaman Khalifah Umar dulu, beliaulah yang berjalan pada malam hari mencari jika ada rakyatnya yang kelaparan. Di zaman kita ni dah tak macam tu. Kalau Daulah Islam itu wujud sekarang ni, Abu pasti akan mendapat pendidikan percuma. Zakat akan segera diagih-agihkan. Khalifah sentiasa bimbang andai ada rakyatnya yang masih kebuluran.” Benar juga kata ustaz. Mengapa ya sistem yang diamalkan khalifah dulu-dulu tidak diamalkan sekarang? Kalau pemimpin sekarang seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, pasti tidak ada lagi rakyat yang layak menerima zakat kerana semuanya tidak layak bergelar asnaf.

Kami meneruskan perjalanan ke beberapa rumah pelajar sekolah kami yang miskin. Rumah terakhir yang kami kunjungi ialah sebuah rumah pondok yang dihuni seorang wanita warga emas. Nama panggilannya Mek Jannah. Beliau hidup sebatang kara sejak kematian suaminya lima tahun yang lepas. Beliau uzur dan tak mampu untuk bekerja. Anak-anaknya ramai, sembilan orang semuanya. Namun sudah bertahun-tahun tidak ada seorang pun anaknya yang pulang menjenguknya di kampung. Kami turut menitiskan air mata mendengarkan luahan hati beliau. Inilah bak kata orang, seorang ibu mampu menyara sepuluh anak. Tetapi sepuluh orang anak belum tentu ada seorang yang mampu menjaga ibunya.

                Aku mula terkenang ayah dan ibu. Abang ku yang sulong juga seperti itu. Sering beraya di Kuala Lumpur, kononnya sibuk dengan kerja. Ibu dan ayah selalu bersedih dengan sikap alongku itu. Melihat keadaan Mek Jannah membuat aku berazam untuk tidak membiarkan mereka keseorangan di hari tua.
                Selesai memberi sumbangan kepada Mek Jannah, Ustaz Hamzah menghantar kami pulang. Di dalam perjalanan pulang, fikiranku melayang memikirkan nasib satu-persatu rumah yang kami kunjungi. Rasa hati ingin sangat hidup di dalam Daulah Islam yang akan membela nasib kaum seperti mereka. Benakku turut memikirkan Mek Jannah. Cerita beliau membuatkan aku semakin rindu dengan ibu dan ayah. Rasa seperti ingin peluk cium dan sujud di kaki mereka. Dari jauh sudah kelihatan rumahku yang semakin hampir. Kelihatan Honda Sivic berhenti di luar rumah. Seorang lelaki dan isterinya keluar dari kereta dan bersalaman dengan ibu dan ayah. “Along dah balik?” hatiku keriangan.

No comments:

Post a Comment