Thursday, September 8, 2011

Perayaan Aidilfitri Tidak Bermakna Tanpa Khilafah

Oleh: Kalam Putih

GENERASI umat Islam abad ini dibesarkan tanpa naungan sistem pemerintahan Islam iaitu Daulah Khilafah. Sebagaimana ibadah puasa pada bulan Ramadhan yang dirayakan tanpa naungan Daulah Khilafah, perayaan Aidilfitri juga dirayakan tanpa naungan Daulah Khilafah. Selain itu perayaan Aidilfitri ternyata telah terpesong daripada matlamat atau tujuan sebenarnya iaitu meraihkan kemenangan.
Maka, kita akan lihat setelah Ramadhan kian berlalu, umat Islam kini sibuk untuk melakukan persiapan bagi menyambut hari kebesaran umat Islam iaitu Aidilfitri yang merupakan hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat Islam. Persoalannya, adakah umat Islam saat ini benar-benar telah meraih kemenangan sebagaimana yang Allah perintahkan? Apakah kemenangan setelah berpuasa sebulan merupakan kemenangan hakiki umat Islam sehingga tidak ada lagi perjuangan untuk mencapai kemenangan sesudah itu?
Amat berbeza sekali takbir kemenangan yang dilaungkan oleh Rasulullah dan para Khulafa’ dengan laungan takbir kemenangan yang dilaungkan oleh umat Islam pada hari ini. Generasi umat Islam ketika itu bertakbir kemenangan setelah mereka berjaya menguasai dunia dan menerapkan hukum Allah dan seluruh aspek kehidupan.
Namun umat Islam hari ini terlalu jauh berbeza, hukum Allah dicampak ketepi dan digantikan dengan hukum ciptaan manusia, umat Islam dihina dan ditindas di merata dunia tanpa pembelaan. Terlalu banyak sebenarnya yang boleh kita perkatakan dengan keadaan umat Islam yang pada saat ini yang amat jauh dari kehidupan islam yang sebenar.
Takbir raya dikumandangkan setiap tahun, namum kaum Muslimin yang mengumandangkannya, senantiasa dibelenggu kekalahan demi kekalahan, kemerosotan demi kemerosotan, kemunduran demi kemunduran. Pelbagai masalah terus-menerus melanda umat Islam di serata dunia, seolah-olah tidak kunjung padam, baik di dalam mahupun di luar negeri.
Umat Islam di pelbagai negera kaum Muslimin hingga kini masih tetap dalam kemerosotan, kebodohan, dan kemiskinan di tengah-tengah sumber alam mereka yang melimpah ruah. Afganistan dan Iraq, hingga kini tetap diduduki kaum penjajah kafir pimpinan AS. Kaum Muslimin di Palestin juga masih tetap menderita di bawah cengkaman Yahudi Israel.
Di Asia Tengah, seperti Uzbekistan dan Kyrgyzstan, umat Islam masih juga tetap dalam belenggu kekejaman rejim-rejim diktator, yang menjadi ejen kaum kafir penjajah. Dan terbaru umat islam di Syiria sehingga hari ini dibunuh sesuka hati oleh rejim diktator yang amat membenci Islam, namun tiada pembelaan daripada umat islam yang lain. Berdasarkan realiti ini, layakkah kita umat Islam mengatakan bahawa kita telah mencapai kemenangan?
Sebenarnya hakikat kemenangan  bukanlah setakat terpenuhnya tuntutan antara makhluk dan Penciptanya secara individu semata-mata. Namun, kemenangan yang sebenarnya adalah sinonim dengan meletakkan Islam sebagai aturan hidup bagi individu, masyarakat dan negara. Jika kita memerhatikan sejarah, laungan takbir sebagaimana yang kita kumandangkan saat ini, selalunya dikumandangkan ketika kaum Muslimin meraih kemenangan. Inilah takbir yang dikumandangkan pertama kali di saat Perang Badar, di saat kaum Muslimin sedang menunaikan puasa Ramadhan yang pertama, 19 bulan setelah hijrah Rasulullah ke Madinah dan di saat kaum Muslimin meraih kemenangan membebaskan kota Makkah. 
Dari itu, kemenangan yang berhasil diraih kaum Muslimin selepas menjalankan ibadah puasa Ramadhan kali ini, sudah semestinya dibuktikan secara nyata dengan bertambahnya ketaatan mereka kepada Allah - ketaatan yang tidak hanya terbatas dalam urusan ibadah ritual semata, akan tetapi ketaatan yang utuh dan menyeluruh dengan menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya dalam seluruh aspek kehidupan.
Ini bererti, kaum Muslimin wajib menjalankan urusan pemerintahan sesuai dengan aturan Allah; menjalankan urusan ekonomi sesuai dengan perintah Allah; menjalankan urusan politik dalam dan luar negeri sesuai dengan perintah Allah; menjalankan urusan sosial dan budaya sesuai dengan perintah Allah; dan demikian seterusnya.
Barulah pada ketika itu, takbir dilaungkan sebagai ungkapan kemenangan yang nyata, yang berhasil diraih oleh kaum Muslimin dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimat Allah di muka bumi ini. Kemenangan mereka ini hanya akan benar-benar terealisasi dengan tertegaknya hukum-hukum Allah di muka Bumi.
Sedarlah bahawa punca tidak dapat diterapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah kerana umat Islam tidak mempunyai institusi politik (Daulah Khilafah) untuk menerapkan hukum Allah secara menyeluruh. Sesungguhnya wajib menerapan hukum - hukum Allah dalam seluruh aspek  kehidupan sama ada secara individu, bermasyarakat dan bernegara, sekaligus merupakan hasil dalam meraih ketakwaan.
Oleh itu sebagai seorang muslim kita perlu berusaha dan  membulatkan tekad untuk berjuang bagi melanjutkan kembali kehidupan Islam secara kaffah dengan menerapkan syariah dalam seluruh aspek kehidupan dan dengan melantik seorang ketua negara bergelar Khalifah, yang dibai’at untuk menjalankan pemerintahan berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang akan menyatukan kembali negeri-negeri Islam dan umat Muhammad.

No comments:

Post a Comment