Sunday, August 7, 2011

Sejarah Ibadah Puasa





IBADAH Sawm atau berpuasa di bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Memahami dan mengetahui tentang sejarah Tasyri' ibadah tersebut akan membolehkan kita sampai kepada maksud supaya setiap amal ibadah dilakukan dalam keadaan kita faham dan tahu matlamatnya.
Tahukah anda bilakah Ibadah Puasa Ramadhan mula disyariatkan? Ibadah Puasa Ramadhan telah disyariatkan oleh Allah SWT pada bulan Shaaban tahun kedua Hijrah dengan terwahyunya firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat ke-183, 184 dan 185:
“Wahai orang-orang yang beriman, puasa itu telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa.” (Al Baqarah(2):183)
Sebelum turunnya ayat ini, umat Islam berpuasa wajib pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Apabila Nabi SAW tiba di Madinah semasa peristiwa Hijrah (1 Hijriyah), Baginda mendapati orang-orang Yahudi di situ berpuasa pada 10 Muharram. Lalu Baginda SAW bertanya tentang sebab musabab mereka berpuasa pada hari berkenaan. Orang-orang Yahudi itu menyatakan bahawa pada hari tersebut Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa Alayhissalam dan kaumnya daripada serangan Firaun. Oleh yang demikian, Nabi Musa Alayhissalam telah berpuasa pada 10 Muharram sebagai tanda syukur kepada Allah!
Nabi Muhammad SAW mengulas keterangan mereka itu dengan menyatakan bahawa, “sesungguhnya kami (umat Islam) adalah lebih berhak ke atas Nabi Musa berbanding kamu”. Lalu Baginda SAW berpuasa pada 10 Muharram dan memerintahkan seluruh umat Islam supaya berpuasa. Hal ini diperjelaskan oleh riwayat daripada Aishah Radhiyallahu ‘anha yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim
Selepas turunnya ayat 183 dan 184 Surah al-Baqarah itu, puasa 10 Muharram atau puasa ‘Asyura’ berkenaan bertukar status menjadi sunnah yang digalakkan.
Di bulan Ramadan ini sejarah telah mencatatkan pelbagai peristiwa untuk dikenang. Di bulan inilah al-Qur’an mula diturunkan dengan turunnya ayat yang pertama sehingga yang kelima surah al-‘Alaq kepada Rasulullah SAW semasa Baginda di gua Hira’. Berikut dicatatkan sebahagian daripada peristiwa penting yang berlaku pada bulan Ramadan bagi tatapan dan renungan kita.
Bil
Peristiwa Penting di
Bulan Ramadan
Tahun
Catatan
1
Peperangan Badar al-Kubra
2 H
Kemenangan peperanagn pertama umat Islam menghadapi musyrikin Mekah
2
Pembukaan Kota Mekah
8 H
Rasulullah mengutuskan sahabat memusnahkan berhala
3
Peperangan Tabuk
9 H
Peperangan dengan tentera Rom
4
Penaklukan Rude
53 H
Pejuang Islam menakluki Rhodesia
5
Pembukaan Selatan Andalusia (Spanyol)
92 H
Tentera Islam dipimpin Tariq bin Ziyad dapat mengalahkan Raja Rodrik di dalam satu peperangan sengit.
6
Kemunculan Pemerintahan Khilafah Abbasiyah
129 H
Kemenangan ke atas Khurasan dan kemudian perlantikan khalifah Abbasiyah yang pertama.
7
Universiti  al-Azhar siap dibina
361 H
Tempat berbicara dan mengajarkan ilmu-ilmu Arab dan syariat Islam.
8
Perang Salib
584 H
Salahuddin al-Ayubi membebaskan semula sebahagian besar wilayah Islam yang pernah dikuasai oleh kaum Salib
9
Kemenangan ke atas tentera Tartar
658 H
Kerajaan mamalik dapat mengalahkan dan membendung kemaraan tentera Tartar di 'Ain Jalud.

No comments:

Post a Comment