Tuesday, October 11, 2011

Cerpen: Di Persimpangan Dilema

Oleh: Ibn Shams

Aku menatap surat yang baru ku terima pagi tadi. Panggilan temuduga untuk mengikuti pengajian tahfiz sepenuh masa di sebuah kolej tahfiz terkemuka di negaraku ini. Air mata menitis membasahi surat. Mengapalah nasibku begini? Sejak kecil ayah dan ibuku hanya mementingkan pengajian sains sahaja. Pengajian sekolah agamaku diberhentikan semata-mata kononnya mahu aku memberi tumpuan kepada peperiksaan besar yang bakal tiba. Walaupun kini aku sudah berjaya mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan itu, namun hatiku rasa kosong.
Masih terngiang-ngiang di benakku nasihat Ustaz Omar semasa aku masih belajar di sekolah agama itu dulu, “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam. Dalam hadith ini, Nabi wajibkan kita untuk belajar ilmu agama. Apalah gunanya ilmu kedoktoran mahupun kejuruteraan sekiranya jiwa kita kosong tanpa ilmu agama.” Kerana menyedari kewajipan itulah aku secara sembunyi-sembunyi telah menghantar.
         Surat permohonan untuk mengikuti pengajian tahfiz dan Islam selama dua tahun di kolej tahfiz tersebut. Aku mahu menuntut ilmu agama sebanyak mungkin. Harapanku agar ayah dan ibu akan berlembut hati mengizinkan aku mengikuti pengajian itu ternyata hampa. Mereka mahu aku sambung belajar di universiti luar negara di negeri orang Barat. 
Hatiku gundah gulana. Pening memikirkan karenah ayah dan ibu. Apalah keputusan yang harus aku ambil? Ikut kata hatikah, atau kata ayah ibu? Ah, malas hendak ku fikirkan! Baik aku berehat menonton televisyen daripada memeningkan kepala. 
Aku mencapai alat kawalan televisyen dan menekan butang “on”. Sebuah rancangan berita dalam dan luar negara. Berita di televisyen hari-hari sama sahaja. Kes rompakan, rogol, bunuh, rasuah, maksiat, judi, dan macam-macam lagi. Apalah nak jadi dengan manusia zaman sekarang? Di manakah hilangnya maruah dan agama mereka? Oh, ya! Aku pernah mengajukan soalan ini kepada Ustaz Omar. Dengan penuh hikmah beliau menerangkan, semua ini bertitik tolak dari sistem pendidikan. Kalaulah Islam tidak diajar dengan sepenuhnya, sudah pasti manusia tidak kenal erti takutkan murka Allah. Di dalam sebuah sistem pendidikan Islam yang mapan, ilmu syariat itulah yang akan diutamakan. Di zaman kita ini, terpaksalah berusaha sendiri mencarinya.
Sistem pendidikan Islam akan melahirkan umat yang cemerlang dan tidak akan terjajah sama ada secara fizikal mahupun mental. Berbeza dengan sistem yang diadopsi dari Barat yang hanya menjadikan kita menurut perintah dan mudah terjajah secara pemikiran. Lihat sahajalah remaja kita hari ini, minda mereka terjajah dengan budaya-budaya Barat yang merosakkan iman.
Aku melihat jam di dinding sudah hampir tengah malam. Lama juga aku mengelamun memikirkan persoalan itu dan ini sehingga terlupa masalahku sendiri. Aku bingkas bangun dari katil menuju bilik mandi. Selepas membasahi tubuhku dengan air wuduk, aku bersolat sunat istikharah memohon petunjuk dari Ilahi. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusanku. Seusai berdoa, aku membaringkan tubuh di atas tilam empuk. Entah berapa lama selepas aku memejamkan mata, terus aku terlena diulit mimpi.
Pagi itu aku bangun dengan seribu harapan. Aku bulatkan tekad untuk memujuk ayah dan ibuku. Kesegaran wuduk solat subuhku masih terasa. Ayah dan ibu sedang bersarapan di meja makan. Aku segera mendapatkan mereka.
“Ayah, Ibu! Syah dah buat keputusan. Syah mahu melanjutkan pengajian ke kolej tahfiz. Ayah dan ibu jangan risau. Syah belajar dua tahun sahaja. Syah janji selepas tamat pengajian Syah akan sambung belajar ambil ijazah kedoktoran. Syah mahu menjadi doktor yang soleh. Doktor yang tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya kepada agama. Syah juga mahu jadi anak yang soleh yang dapat mendoakan ayah dan ibu. Jadi Syah minta restu ayah dan ibu, izinkan Syah belajar di kolej tahfiz ini.”
“Baiklah. Tapi janji Syah akan sambung belajar ijazah ya,” kata ayahku.
Aku terlalu gembira sehingga menitiskan air mata mendengarkan jawapan ayahku itu. Dengan segera aku bersujud syukur kehadrat Ilahi. Ya Allah! Aku bersyukur kerana Kau berikan petunjuk dan hidayah-Mu dalam membantu aku membuat keputusan ini. Alhamdulillah. Allahu Akbar!

No comments:

Post a Comment