Thursday, November 10, 2011

Politik Adalah Kefardhuan


Oleh: Mohd Saifuddin Bin Ariffin

WUJUD sekelompok umat Islam yang berpandangan bahawa Islam terpisah sama sekali dari politik. Islam adalah wahyu, sedangkan politik adalah kejahatan, propaganda dan permainan kotor manusia. Bagi mereka, mencampurkan Islam dengan politik mencemar kesucian Islam. Lebih-lebih lagi kerana ada ahli politik yang menggunakan Islam  untuk menjustifikasikan agenda politik mereka.
Politik Adalah Sebahagian Daripada Islam
Politik didalam bahasa arab dikenali sebagai istilah siyasah.  Syaikh Abdul Qadim Zallum didalam kitabnya Al-afkaru Siyasi mendefinasikan politik sebagai ‘Aktiviti mengatur urusan umat, baik didalam mahupun diluar negara yang berlandaskan hukum syarak’. Rasulullah SAW sendiri pernah mengunakan istilah politik (siyasah) seperti sabdanya;
‘Adalah Bani Israel, mereka diurusi urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, maka datang nabi yang lain menggantikannya. Tidak ada nabi lagi selepasku, namun akan ada banyak Khalifah yang mengurusi kalian’ (HR Bukhari & Muslim).
Definasi ini semestinya jauh sekali dengan perspektif politik yang difahami majoriti masyarakat hari ini. Aktiviti politik melibatkan pemerintah dan juga masyarakat., Negara berfungsi untuk mempraktikalkan ajaran Islam dan masyarakat pula, disatu sisi bertindak sebagai pemuhasabah terhadap pemerintah dalam melakukan urusan rakyatnya.
Setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlu melibatkan diri dengan aktiviti politik, iaitu peka dengan segenap isu yang berlaku didalam dan diluar negara, membongkar kezaliman, menuntut keadilan dan menasihati pemimpin yang menderhakai Allah dan RasulNya. Peranan ini adalah perintah dari Allah SWT melalui lisan Rasulullah SAW didalam sebuah hadis yang bersifat mutawwatir bi makna ini, ‘Barang siapa yang bangun pada pagi hari dengan perhatiannya selain Allah, maka dia bukanlah hamba Allah, dan sesiapa sahaja yang bangun pagi hari namun tidak memerhatikan urusan kaum muslimin, maka ia bukan dari golongan mereka’. (HR Al hakim)
Rasulullah SAW ditanya sahabat tentang jihad yang paling utama, lantas Baginda menjawab, ‘Kalimah haq yang disampaikan kepada penguasa yang keji’. (HR Ahmad)
Politik sekular yang berprinsip matlamat menghalalkan cara untuk meraih kuasa, hendaklah dihapuskan sepenuhnya. Pemikiran berbahaya inilah yang selama ini menjahanamkan kesatuan umat Islam dengan konflik politik yang busuk, fitnah menfitnah, jatuh menjatuhkan, bahkan kafir mengkafirkan. Sebagai seorang muslim yang merindukan kebangkitan Islam, janganlah terperangkap dengan permainan ini yang disogok dan dicipta oleh musuh Islam untuk memesongkan tujuan sebenar kita.
Politik seseorang muslim tidak boleh lari dengan usaha menerapkan dan menegakkan ajaran Islam dalam segala aspek kehidupan. Islamlah satu-satunya sumber politik seseorang yang berakidahkan Islam, seperti yang diteladani oleh Rasulullah SAW. Politik bukanlah sesuatu yang terpisah dari ajaran Islam, bahkan ajaran Islamlah (dengan jalan politik) yang memberi kehidupan dalam hidup ini. Wallahu muwafiq ila aqwamit thariq.

Tuesday, October 11, 2011

Sejarah Sistem Pendidikan di Malaysia


Oleh: Abu Syakir
TAHUKAH anda mengapa dikalangan masyarakat melayu, wujud dua golongan masyarakat yang mempunyai pandangan hidup yang berbeza? Jawapannya bermula dari sejarah asas dan latarbelakang pendidikan yang berbeza yang dilalui sistem pendidikan Negara Malaysia.
Secara umumnya latarbelakang pendidikan di Malaysia terbahagi kepada tiga era  iaitu era sebelum kedatangan British, era semasa kedatangan British dan selepas era kemerdekaan yang di’hadiah’kan oleh British. Pendidikan era sebelum kedatangan British, dilaksanakan melalui pengajaran oleh induvidu-individu (tok guru) sama ada dirumah, madrasah dan disekolah pondok. Kewujudan Sekolah Pondok kekal kehari ini membuktikan pengajaran syiar Islam adalah meluas dan berpengaruh ditanah Melayu.
Hasil daripada sistem inilah yang melahirkan ulama-ulama dan pejuang-pejuang penentang imperialisme barat seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Mat Hassan, Panglima Munas, Tok Janggut.
Semasa era penjajahan British, pengaruh ideologi Islam mula disekat dan digantikan dengan sistem pendidikan yang mengikut acuan penjajah. Bagi merealisasikan agenda pecah dan perintah mereka, penjajah mewujudkan sekolah khusus mengikut kaum yang mempunyai kurikulum yang berbeza dan bahasa penghantar yang berlainan. Pada tahun 1880an sekolah-sekolah Inggeris mula diperkenalkan dan sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh mubaligh kristian. Kelahiran sekolah seperti King Enward VII, Clifford, St John dan lain-lainnya adalah daripada dasar penjajahan mereka. Guru sekolah-sekolah ini adalah didatangkan terus daripada British atau mereka yang telah dilatih oleh British.
Objektif tersembunyi kewujudan sekolah Inggeris ini adalah menyebarkan ilmu dan tsaqafah barat dan membangkitkan rasa nasionalisme (assobiyah) dalam jiwa pelajar. Tidak ketinggalan pemimpin dan tokoh-tokoh masyarakat juga dididik dan dipengaruhi oleh budaya dan fahaman Inggeris ini. Inilah misi mereka yang dijalankan dengan licik sejak dulu hingga kini dalam menyebarkan agama Kristian, mengeksport pemikiran Barat ke Dunia Timur, meragukan kaum Muslimin dalam beragama, merendahkan sejarah Islam dan memuliakan Barat dan peradabannya.
Era seterusnya adalah era selepas penguduran British daripada Tanah Melayu. Penyata-Penyata Pendidikan (Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1959) telah dikeluarkan untuk merangka, membentuk dan mengubal sistem pendidikan pada masa itu. Polisi pendidikan negara ini digubal dari masa kesemasa mengikut perkembangan ekonomi, sosial, politik dan keperluan sehinggalah sekarang.
Berdasarkan lintasan sejarah diataslah, dan berdasarkan campuran latar belakang pendidikan di Malaysia ini, wujud masyarakat yang berbeza pandangan hidup.  Pastinya, Islam bukan tunjang objektif pendidikan di Malaysia.

Polisi pendidikan Di dalam Islam


Oleh: Cikgu Isa Abdullah

Pada masa Rasulullah saw, perhatian terhadap dunia pendidikan cukup tinggi. Baginda membebaskan para tawanan perang Badar dengan cara para tawanan mengajar membaca dan menulis kepada sepuluh warga Madinah. Ini bererti bahawa pada masa Rasulullah perbelanjaan pendidikan  itu sudah setaraf kedudukannya  dengan tebusan perang yang seharusnya  milik Baitul Mal.
Di dalam aspek kenegaraan dapat dilihat bahawa Negara Islam itu diwajibkan untuk menyediakan dan menyelenggarakan polisi pendidikan serta memastikan semua warganegara samada muslim ataupun kafir zimmi memperolehi ilmu pengetahuan secara percuma. Untuk itu negara diwajibkan menyediakan satu Kurikulum Pendidikan Negara yang berasaskan kepada Akidah Islam, menyediakan fasiliti asas seperti sekolah, universiti, makmal dan perpustakaan, menyediakan  guru-guru terlatih dan insentif-insentif galakan dibidang penulisan ilmu, penghasilan buku-buku dan juga kajian (research).
Rasulullah menegaskan bahawa  pemimpin  berperanan menguruskan  urusan rakyatnya, termasuklah  pendidikan. Sabda Rasulullah saw, “Imam (pemimpin) adalah pengurus rakyat dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas urusan rakyatnya”. (HR Bukhari dan Muslim).
Berikut adalah  penjelasan secara ringkas berkenaan Polisi Pendidikan Islam yang dilaksanakan didalam Daulah Islam Khilafah berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Sheikh Taqiuddin An-Nabhani di dalam Kitabnya Muqadimatud Dustur.
MISI: Membentuk pola fikir (العقلية  الإسلامية) dan pola jiwa (النفسية الإسلامية) Islami dan seterusnya menghasilkan para pelajar yang mempunyai keperibadian Islam
VISI:   Membekali para pelajar dengan  pelbagai ilmu dan pengetahuan yang berhubung kehidupan.
Kaedah penyampaian pelajar dirancang  untuk menunjang tercapainya  misi tersebut. Setiap metodologi pendidikan  yang tidak berorentasikan misi pendidikan negara tersebut akan dilarang.

KURIKULUM: Terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Rendah, Menengah dan Perguruan Tinggi
1.       Peringkat Rendah dan Menengah (wajib dipelajari)
a.        Subjek Teras: Bahasa Arab dan Ilmu-lmu Islam
b.       Subjek Elektif: Ilmu Terapan  dan Ilmu Tsaqofah
2.       Peringkat Perguruan Tinggi
a.        Subjek Teras: Tsaqofah Islam
b.       Subjek Elektif:
                                                               i.      Subjek Pengkhususan Sains
                                                              ii.      Subjek  Pengkhususan Teknikal dan Profesional
                                                            iii.      Lain-lain Subjek Pengkhususan
POLISI-POLISI KHAS PENDIDIKAN
1.       Pendidikan Swasta: Dibenarkan selagi menggunakan Kurikulum Negara dan melaksanakan Polisi Pendidikan Negara.
2.       Yuran: Pendidikan negara adalah disediakan secara percuma kepada semua warganegara samada muslim ataupun kafir zimmi, lelaki ataupun perempuan diketiga-tiga peringkat.
3.       Prasarana pendidikan: Akan disediakan dengan tahap terbaik secara percuma untuk menggalakkah proses pengaliran ilmu dan juga kajian-kajian. Prasarana-prasarana ini meliputi sekolah, universiti, makmal, perpustakaan dan prasarana-prasarana lain.
4.       Akta Penerbitan: Tidak dibolehkan ada hak milik dalam mengarang buku-buku pendidikan untuk semua peringkat. Tidak dibolehkan  seseorang (samada pengarang ataupun bukan) memiliki hak cetak dan terbit, selama  sebuah buku telah  dicetak dan diterbitkan. Jika  masih berbentuk pemikiran yang dimiliki seseorang dan belum dicetak atau beredar, maka dia boleh mengambil imbalan kerana memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, seperti halnya mendapat gaji dalam mengajar.
Beginilah secara ringkasnya bagaimana Islam mengatur pendidikan didalam masyarakat. Dan Insyaallah kita akan kembali melihat Polisi Pendidikan Ini akan diterapkan didalam Daulah Khilafah yang akan bangkit dalam masa yang terdekat ini, kesan daripada kebangkitan khususnya didalam taraf pemikiran umat Islam diseluruh dunia. Ketika itu kita akan melihat para pelajar akan terdidik dengan cemerlang sehingga mengembalikan semula zaman dimana pemuda yang berumur belasan tahun telah mampu untuk memimpin Armada Laut Negara seperti yang terjadi di zaman Khilafah Uthmaniah pada Sultan  Muhammad al-Fatih yang telah menawan Konstatinopel atau seperti Imam as-Syafie yang telah dibenarkan mengeluarkan fatwanya sendiri ketika masih diusia awal remaja.