Tuesday, October 11, 2011

Sejarah Sistem Pendidikan di Malaysia


Oleh: Abu Syakir
TAHUKAH anda mengapa dikalangan masyarakat melayu, wujud dua golongan masyarakat yang mempunyai pandangan hidup yang berbeza? Jawapannya bermula dari sejarah asas dan latarbelakang pendidikan yang berbeza yang dilalui sistem pendidikan Negara Malaysia.
Secara umumnya latarbelakang pendidikan di Malaysia terbahagi kepada tiga era  iaitu era sebelum kedatangan British, era semasa kedatangan British dan selepas era kemerdekaan yang di’hadiah’kan oleh British. Pendidikan era sebelum kedatangan British, dilaksanakan melalui pengajaran oleh induvidu-individu (tok guru) sama ada dirumah, madrasah dan disekolah pondok. Kewujudan Sekolah Pondok kekal kehari ini membuktikan pengajaran syiar Islam adalah meluas dan berpengaruh ditanah Melayu.
Hasil daripada sistem inilah yang melahirkan ulama-ulama dan pejuang-pejuang penentang imperialisme barat seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Mat Hassan, Panglima Munas, Tok Janggut.
Semasa era penjajahan British, pengaruh ideologi Islam mula disekat dan digantikan dengan sistem pendidikan yang mengikut acuan penjajah. Bagi merealisasikan agenda pecah dan perintah mereka, penjajah mewujudkan sekolah khusus mengikut kaum yang mempunyai kurikulum yang berbeza dan bahasa penghantar yang berlainan. Pada tahun 1880an sekolah-sekolah Inggeris mula diperkenalkan dan sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh mubaligh kristian. Kelahiran sekolah seperti King Enward VII, Clifford, St John dan lain-lainnya adalah daripada dasar penjajahan mereka. Guru sekolah-sekolah ini adalah didatangkan terus daripada British atau mereka yang telah dilatih oleh British.
Objektif tersembunyi kewujudan sekolah Inggeris ini adalah menyebarkan ilmu dan tsaqafah barat dan membangkitkan rasa nasionalisme (assobiyah) dalam jiwa pelajar. Tidak ketinggalan pemimpin dan tokoh-tokoh masyarakat juga dididik dan dipengaruhi oleh budaya dan fahaman Inggeris ini. Inilah misi mereka yang dijalankan dengan licik sejak dulu hingga kini dalam menyebarkan agama Kristian, mengeksport pemikiran Barat ke Dunia Timur, meragukan kaum Muslimin dalam beragama, merendahkan sejarah Islam dan memuliakan Barat dan peradabannya.
Era seterusnya adalah era selepas penguduran British daripada Tanah Melayu. Penyata-Penyata Pendidikan (Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1959) telah dikeluarkan untuk merangka, membentuk dan mengubal sistem pendidikan pada masa itu. Polisi pendidikan negara ini digubal dari masa kesemasa mengikut perkembangan ekonomi, sosial, politik dan keperluan sehinggalah sekarang.
Berdasarkan lintasan sejarah diataslah, dan berdasarkan campuran latar belakang pendidikan di Malaysia ini, wujud masyarakat yang berbeza pandangan hidup.  Pastinya, Islam bukan tunjang objektif pendidikan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment