Oleh: Ibn Shams
“Assalamualaikum,”
terdengar suara orang dari luar memberi salam. Aku segera ke pintu untuk
menyambut tetamu itu.
“Walaikumussalam. Eh, Pak Aji!
Jemput masuk,” aku mempersilakan orang tua berjubah dan berserban itu masuk ke
rumahku. “Ada hajat apa Pak Aji?” “Aku dengar kau nak menunaikan haji, ya?” Pak
Aji bertanya. “Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya. Saya pergi dengan emak.
Ayah tak dapat pergi sebab uzur,” aku menjawab.
“Aku bukan apa. Nak bagi nasihat
sikit pada engkau. Maklumlah, aku ni kan dah lima kali menunaikan haji.” Aku
tersengeh mendengar omongan Pak Aji. Apalah yang difikirkan oleh orang tua ini
agaknya. “Aku ni dah jumpa macam-macam orang. Kalau pergi ke sana, jangan
main-main. Tu kan tanah haram, silap langkah nanti Allah bayar ‘cash’ je di
sana. Ada orang sesat tak jumpa kaabah lah, sakit lah, macam-macam.” Ada-ada
sajalah Pak Aji ni. Sebenarnya aku tahu sangat perangai Pak Aji ni. Kalau
mana-mana orang kampung nak pergi haji, pasti dia akan ziarah nak
menunjuk-nunjuk yang dia dah pergi haji banyak kali. Sudah puas orang kampung
menasihatinya tapi dia buat tak endah sahaja.
“Kau
tahu, aku dulu lima kali buat haji, lima kali dapat cium hajar aswad tau.
Hari-hari aku solat di masjidil haram aku doa menangis-nangis.” Pak Aji menyambung
ceritanya itu. “Sudah-sudahlah tu Aji. Masuk yang ini dah sepuluh kali aku
dengar cerita engkau tu. Kita pergi haji untuk beribadah, bukan untuk
menunjuk-nunjuk,” ayah menyampuk. Aku segera memapah ayah yang baru keluar dari
bilik ke kerusi rotan. Ibu keluar dari dapur membawa kopi dan kuih cucur udang.
“Alah, kau mana tahu! Kau
sendiri pun belum pernah pergi haji,” Pak Aji menjeling, agaknya terasa dengan
teguran ayah. “Aku ni kan uzur. Cukuplah aku upah orang buat haji.” Seraya
mendengar jawapan ayah, Pak Aji menambah,”Ah, mana sama upah orang dengan buat
sendiri!” Naik hairan aku melihat telatah Pak Aji ini. Umur sudah lanjut,
tetapi masih berperangai macam budak-budak. Buat haji dah banyak kali, tetapi
tak macam orang dah pergi haji. Asal balik dari haji, Pak Aji akan
bermegah-megah dengan barangan yang dibelinya di sana. Sudah lima kali, bukan
sikit tu. Benarlah hidayah itu milik Allah buat orang yang memilih kebaikan.
“Ni, aku nak tanya kau Aji. Kau
dah lima kali pergi haji, tapi kenapa aku tak pernah nampak kau ke masjid? Lagi
pelik, asal balik dari masjid sahaja pasti aku lihat kau di kedai kopi. Kau tak
solat ke?” terkejut juga aku mendengar soalan pedas keluar dari mulut ayah.
“Itulah kau tak tahu. Aku ni dah sampai tahap makrifat. Semua dalam rukun Islam
aku dah buat. Mengucap syahadah, solat, puasa, bayar zakat, dan yang terakhir
buat haji. Dah cukup lima-lima ni aku buat, dah lengkap la rukun Islam aku. Tak
perlulah solat lagi.” Tergelak aku mendengar jawapan Pak Aji itu. Macam ni
punya orang pun ada. Ayah tidak puas hati. Beliau menempelak,”Hish, kamu ni!
Dari mana kamu belajar Islam macam ni?” “Dari Ustaz Syafie lah, yang datang
dari seberang tu. Dia wali agung tahu! Aku sedang berguru dengan dialah ni.
Suatu hari nanti aku pasti akan jadi wali macam dia. Rugi kau tak ikut aku,”
Pak Aji menjawab dengan bangga. Astaghfirullahal’azim! Aku dan ayah menggeleng
kepala.
“Bawa mengucap Aji. Ajaran sesat
mana yang kau ikut ni. Dah terpesong pegangan kau ni. Cepat-cepatlah bertaubat
sebelum terlambat. Kita ni bukan muda lagi. Bila-bila sahaja akan dijemput
kembali kepada-Nya. Jangan nanti kerugian di akhirat,” ayah bersungguh-sungguh
menasihati Pak Aji.
“Ah, jangan
kau pandai-pandai nak mengajar aku!” berang dengan nasihat ayah Pak Aji dengan
kasar bangun dan keluar dari rumah. Marah sangat nampaknya sampai belum sempat
menjamah cucur udang yang emak hidangkan. Aku dan ayah saling berpandangan.
Ayah menjelaskan inilah bahana
tiadanya institusi yang dapat memelihara aqidah umat Islam. Orang Islam mudah
terpedaya dengan ajaran sesat. Bukan itu sahaja, malah tidak kurang juga yang
murtad. Seharusnya tanggugjawab ini dipikul pemerintah dan bukan hanya
mengharapkan badan-badan dakwah mahupun jemaah Islam sahaja yang mengambil
tindakan. Pelaksanaan syariat Islam yang sempurna pasti akan dapat memelihara
aqidah kita agar tidak terpesong. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment