Oleh:
Ibnu Salleh
TIDAK dapat dinafikan lagi Daulah Islam
(Daulah Khilafah) merupakan cahaya keagungan dunia suatu ketika dahulu.
Kehebatan Daulah Islam ketika itu membuatkan Islam dan umatnya dipandang mulia.
Namun keagungan ini tidak berkekalan disebabkan lima faktor.
Pertama: lemahnya aspek pemikiran.
Masalah ini bermula pada zaman pemerintahan Dinasti Mamalik. Isu bahasa arab,
aspek pemikiran dan perundangan negara mula diremehkan. Hal ini jelas apabila
pintu ijtihad ditutup dan penguasa mewajibkan ulama’ untuk bertaklid. Tanpa
disedari, khalifah ketika itu telah menyebabkan lemahnya pemahaman Islam kepada
umatnya dan sekaligus kedudukan Daulah Islam mulai goyang.
Kedua: munculnya masalah ketimuran.
Para pemerhati muslim pastinya berbangga melihat ketakutan barat terhadap
tentera dibawah pimpinan Khalifah Muhammad Al-Fateh pada abad ke-9 Hijriah
(abab ke-15) juga para sultan selepasnya. Perluasan Negara Islam terus berlangsung
sehingga abad ke-11 H ditangan Sulaiman al-Qanuniy. Beliau berjaya mengukuhkan
kekuatan Daulah Islam sehingga abad ke-12 H.
Namun dalam keghairahan
para pemerintah ketika itu melaksanakan futuhat Islam dengan banyak kemenangan
setiap siri jihad yang dilancarkan, mereka alpa aspek pemikiran Islam (Dakwah)
dan penerapan sistem Islam secara keseluruhan terhadap negara-negara
taklukan. Abad ke-18M, akibat kealpaan
tersebut, kekuatan Daulah Khilafah tidak lagi dilihat Barat sebagai hasil dari
pancaran akidah Islam seperti pandangan Quraisy kepada Daulah Islam di Madinah,
melainkan kekuatan hasil warisan generasi sebelumnya. Para pemerhati barat
ketika itu melihat persaingan yang wujud antara Daulah Islam dan barat tidak lagi sebagai “Islam vs Barat” melainkan “Timur
vs Barat”.
Kealpaan Dakwah Islam
semakin rumit apabila Barat muncul revolusi industri dan kekuatan teknologi
sehingga menggugat kekuatan Daulah Islam. Daulah Islam yang pada hakikatnya
melayan barat sebagai isu “Islam Vs Barat” telah berubah arah menghadapi
persaingan teknologi ini dengan rentak barat menghadapi daulah iaitu “Timur Vs
Barat”.
Para pemerintah
Uthmaniyyah ketika itu telah mula menyibukkan rakyatnya untuk bersaing dalam
bidang teknologi dengan barat sehingga aspek pemikiran Islam tidak lagi menjadi
isu yang terpenting Daulah Islam. Perubahan politik daulah ini mengakibatkan
ketaqwaan dikalangan para penguasa dan rakyat daulah semakin melemah sehingga
munculnya tali barut barat dikalangan para duta Islam di negara barat. Bangsa
Barat mula menampakkan taringnya dan kaum muslimin semakin melemah.
Ketiga: Buruknya penerapan sistem Islam. Kealpaan pemeliharaan aspek pemikiran islam
oleh para Khalifah Uthmaniyyah melahirkan suasana perlaksanaan Islam penuh
dengan simpang-siul. Setiap isu ditangani bersandarkan pada pemikiran islam
yang membingungkan. Para ulama’ hilang keupayaan melakukan ijtihad. Hasilnya itu Daulah Islam mengalami transisi
kebingungan penerapan sistem Islam dan buruknya penyusunan perundangan Islam
yang akhirnya keunikan daulah Islam yang mempunyai sistem kehidupan yang khas
dan sempurna tidak lagi dilihat sekaligus imej Daulah Islam sebagai kuasa berpengaruh
berlakunya kegoncangan.
Keempat: Negara-negara kafir barat semakin
berpengaruh. Abad ke-13 H (19M), kedudukan Daulah Khilafah Uthmaniyyah
mula mendapat goncangan dari negara-negara kafir barat. Pengaruh negara barat
telah mula melemahkan pengaruh Daulah Islam. Di Barat mulai muncul
gerakan-gerakan kebangkitan yang mula mendapat perhatian dunia.
Sementara
ditengah-tengah Daulah Islam, kaum muslimin mengalami kejumudan pemikiran dan
buruknya penerapan Islam semakin terserlah. Walhasilnya gerakan kebangkitan
barat yang mengalami revolusi pemikiran mula mendapat perhatian kaum muslimin
melalui penulisan para falsafah dan pemikir barat. Tanpa disedari kaum
muslimin, tindakan mereka mengambil pemikiran-pemikiran barat untuk
menyelesaikan masalah-masalah kejumudan dikalangan mereka sebenarnya
menambahkan lagi kerumitan masalah di dalam tubuh Daulah Islam sekaligus
memperkuatkan lagi pengaruh negara kafir barat.
Kelima: Adanya benih-benih serangan terhadap
kaum muslimin dan Daulah Islam. Akibat buruknya pemahaman Islam
dan ketidakmampuan Daulah Khilafah Uthmaniyyah menjaga warganya untuk tetap
dengan pemikiran Islam, umat mula tidak memandang kemajuan teknologi dan
penemuan-penemuan yang bersumber dari Islam. Mereka mula hilang keyakinan
terhadap keupayaan Islam sebagai cara hidup. Mereka mula meniru dan mengambil
apa-apa pemikiran yang datang dari barat tanpa melihat lagi sama ada pandangan
barat itu bercanggah dengan Islam atau sebaliknya.
Sikap mengagungkan
barat menyebabkan Daulah Islam semakin lemah sehingga tidak mampu bangun
mempertahankan kelemahannya. Kelemahan ini menimbulkan keberanian musuh-musuh
Islam untuk memecahkan negara seluas 2/3 dunia ini kepada serpihan
negara-negara yang kecil. Goncangan ini tidak dapat ditolak oleh Daulah Islam
malah menerimanya dengan penuh pasrah. Belum cukup dengan serangan itu, para
misionaris juga mengambil kesempatan melancarkan serangan terhadap Islam dengan
bertopeng disebalik sekolah-sekolah dan gerakan-gerakan kebajikan. Mereka
berhasil menyalakan api fitnah di dalam Daulah Islam.
Para Misionaris berjaya
meniupkan semangat nasionalisme diseluruh bahagian Daulah Islam iaitu di
Balkan, Turki, negara-negara Arab, Armenia dan Kurdistan. Pada Tahun 1914 M,
negara berada di jurang keruntuhan dan terheret ke dalam Perang Dunia Pertama, menjadi
pihak yang kalah dan akhirnya dihancurkan. Pada Tanggal 3 Mac 1924, Daulah
Khilafah dihapuskan secara rasminya oleh Mustafa Kamal laknatullah dengan
bantuan pihak barat. Setelah itu dunia kaum muslimin dicorakkan sebagai
negara-negara bangsa dengan sistem pemerintahan kufur iaitu demokrasi hinggalah
kini.
Ringkasan Buku Daulah Islam, Syeikh Taqiyuddin An-Nabahani.
No comments:
Post a Comment