Oleh: Cikgu Isa Abdullah
Pada masa Rasulullah saw, perhatian terhadap dunia pendidikan cukup tinggi. Baginda membebaskan para tawanan perang Badar dengan cara para tawanan mengajar membaca dan menulis kepada sepuluh warga Madinah. Ini bererti bahawa pada masa Rasulullah perbelanjaan pendidikan itu sudah setaraf kedudukannya dengan tebusan perang yang seharusnya milik Baitul Mal.
Di dalam aspek kenegaraan dapat dilihat bahawa Negara Islam itu diwajibkan untuk menyediakan dan menyelenggarakan polisi pendidikan serta memastikan semua warganegara samada muslim ataupun kafir zimmi memperolehi ilmu pengetahuan secara percuma. Untuk itu negara diwajibkan menyediakan satu Kurikulum Pendidikan Negara yang berasaskan kepada Akidah Islam, menyediakan fasiliti asas seperti sekolah, universiti, makmal dan perpustakaan, menyediakan guru-guru terlatih dan insentif-insentif galakan dibidang penulisan ilmu, penghasilan buku-buku dan juga kajian (research).
Rasulullah menegaskan bahawa pemimpin berperanan menguruskan urusan rakyatnya, termasuklah pendidikan. Sabda Rasulullah saw, “Imam (pemimpin) adalah pengurus rakyat dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas urusan rakyatnya”. (HR Bukhari dan Muslim).
Berikut adalah penjelasan secara ringkas berkenaan Polisi Pendidikan Islam yang dilaksanakan didalam Daulah Islam Khilafah berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Sheikh Taqiuddin An-Nabhani di dalam Kitabnya Muqadimatud Dustur.
MISI: Membentuk pola fikir (العقلية الإسلامية) dan pola jiwa (النفسية الإسلامية) Islami dan seterusnya menghasilkan para pelajar yang mempunyai keperibadian Islam
VISI: Membekali para pelajar dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan yang berhubung kehidupan.
Kaedah penyampaian pelajar dirancang untuk menunjang tercapainya misi tersebut. Setiap metodologi pendidikan yang tidak berorentasikan misi pendidikan negara tersebut akan dilarang.
KURIKULUM: Terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Rendah, Menengah dan Perguruan Tinggi
1. Peringkat Rendah dan Menengah (wajib dipelajari)
a. Subjek Teras: Bahasa Arab dan Ilmu-lmu Islam
b. Subjek Elektif: Ilmu Terapan dan Ilmu Tsaqofah
2. Peringkat Perguruan Tinggi
a. Subjek Teras: Tsaqofah Islam
b. Subjek Elektif:
i. Subjek Pengkhususan Sains
ii. Subjek Pengkhususan Teknikal dan Profesional
iii. Lain-lain Subjek Pengkhususan
POLISI-POLISI KHAS PENDIDIKAN
1. Pendidikan Swasta: Dibenarkan selagi menggunakan Kurikulum Negara dan melaksanakan Polisi Pendidikan Negara.
2. Yuran: Pendidikan negara adalah disediakan secara percuma kepada semua warganegara samada muslim ataupun kafir zimmi, lelaki ataupun perempuan diketiga-tiga peringkat.
3. Prasarana pendidikan: Akan disediakan dengan tahap terbaik secara percuma untuk menggalakkah proses pengaliran ilmu dan juga kajian-kajian. Prasarana-prasarana ini meliputi sekolah, universiti, makmal, perpustakaan dan prasarana-prasarana lain.
4. Akta Penerbitan: Tidak dibolehkan ada hak milik dalam mengarang buku-buku pendidikan untuk semua peringkat. Tidak dibolehkan seseorang (samada pengarang ataupun bukan) memiliki hak cetak dan terbit, selama sebuah buku telah dicetak dan diterbitkan. Jika masih berbentuk pemikiran yang dimiliki seseorang dan belum dicetak atau beredar, maka dia boleh mengambil imbalan kerana memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, seperti halnya mendapat gaji dalam mengajar.
Beginilah secara ringkasnya bagaimana Islam mengatur pendidikan didalam masyarakat. Dan Insyaallah kita akan kembali melihat Polisi Pendidikan Ini akan diterapkan didalam Daulah Khilafah yang akan bangkit dalam masa yang terdekat ini, kesan daripada kebangkitan khususnya didalam taraf pemikiran umat Islam diseluruh dunia. Ketika itu kita akan melihat para pelajar akan terdidik dengan cemerlang sehingga mengembalikan semula zaman dimana pemuda yang berumur belasan tahun telah mampu untuk memimpin Armada Laut Negara seperti yang terjadi di zaman Khilafah Uthmaniah pada Sultan Muhammad al-Fatih yang telah menawan Konstatinopel atau seperti Imam as-Syafie yang telah dibenarkan mengeluarkan fatwanya sendiri ketika masih diusia awal remaja.
No comments:
Post a Comment