Thursday, November 10, 2011

Penentuan Tarikh Perayaan Aidiladha


Oleh: Abu Bakar
Penentuan tarikh perayaan Aidiladha (10 Dzulhijjah) bergantung kepada penentuan awal bulan Dzulhijjah (1 Dzulhijjah). Dalam hal ini, para fuqaha sepakat bahawa penentuan awal bulan Dzulhijjah mestilah berdasarkan kepada rukyatul hilal (melihat anak bulan) semata-mata, bukan dengan hisab.
Hal ini ditegaskan oleh Syeikh Abdul Majid al-Yahya di dalam kitabnya Atsar Al-Qamarain fi Al-Ahkam Al-Syar’iyah, “Tidak ada khilafiyah (perbezaan pendapat) di antara para fuqaha, bahawa rukyatul hilal adalah kayu ukur dalam penentuan masuknya bulan Dzulhijjah…” (Abdul Majid al-Yahya, Atsar Al-Qamarain fi Al-Ahkam Al-Syar’iyah, hal. 198).
Hujah ini dikuatkan lagi dengan dalil-dalil umum bahawa kaedah tetap untuk menentukan awal bulan-bulan Qamariyah adalah rukyatul hilal sahaja. Antaranya adalah hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Berpuasalah kamu (bermulanya Ramadhan) kerana melihat hilal dan berbukalah kamu (berakhirnya Ramadhan) kerana melihat hilal.” (HR Bukhari no 1776; Muslim no 1809; At-Tirmidzi no 624; An-Nasa`i no 2087). (Lihat Abdul Majid al-Yahya, ibid., hal. 199; Ahmad Muhammad Syakir, Awa`il al-Syuhur Al-Arabiyah, hal.4; Fahad Al-Hasun, Dukhul al-Syahr al-Qamari, hal. 14).
Berdasarkan hadis-hadis yang seumpama dengannya, para ulama sepakat bahawa hisab astronomi (al-hisab al-falaki) tidak boleh dijadikan sandaran dalam menentukan masuknya awal bulan Qamariyah. Perkara ini telah diriwayatkan oleh Ibnu Mundzir, Ibnu Taimiyyah, Abul Walid al-Baji, Ibnu Rusyd, Al-Qurthubi, Ibnu Hajar, Al-‘Aini, Ibnu Abidin, dan Syaukani. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/132; Fathul Bari, 4/158; Tafsir al-Qurthubi, 2/293; Hasyiyah Ibnu Abidin, 3/408; Bidayatul Mujtahid, 2/557).
Selain daripada rukyatul hilal, Allah SWT telah menetapkan hukum yang khusus dalam penentuan awal bulan Dzulhijjah yang berkaitan dengan Aidiladha. Umat Islam seluruh dunia walau dimana pun mereka berada, wajib mengikuti rukyatul hilal yang dilakukan oleh penguasa Mekah sahaja bukan dari negeri-negeri kaum Muslimin yang lain. Kecuali jika penguasa Mekah tidak berupaya untuk melakukan rukyah hilal, barulah rukyah dari negeri yang lain boleh dijadikan sandaran.
Dalil terhadap hukum ini adalah hadis dari Husain bin Al-Harits Al-Jadali RA, dia berkata, “Amir (Penguasa) Mekah berkhutbah kemudian dia berkata,"Rasulullah telah berpesan kepada kita agar kita menjalankan manasik haji berdasarkan rukyah. Jika kita tidak dapat melihat hilal, dan terdapat dua orang saksi yang adil yang menyaksikannya (rukyah hilal), maka kita akan menjalankan manasik haji berdasarkan kesaksian kedua-dua orang itu.”  (HR Abu Dawud, hadis no 2339. Imam Daruquthni berkata,"Hadis ini isnadnya muttashil dan sahih." Lihat Sunan Ad-Daruquthni, 2/267. Syeikh Nashiruddin Al-Albani berkata,"Hadis ini sahih." Lihat Nashiruddin Al-Albani, Sahih Sunan Abu Dawud, 2/54).
Hadis ini menunjukkan bahawa yang mempunyai kuasa dalam menetapkan hari-hari manasik haji seperti hari 'Arafah, Aidiladha dan hari-hari tasyriq adalah Amir Makkah (Penguasa Mekah), bukan yang lain. Dalam keadaan tiadanya pemerintahan Islam (Khilafah) seperti sekarang, kekuasaan dalam penetapan tarikh itu tetap dimiliki penguasa Mekah sekarang (Negara Arab Saudi), meskipun sistem pemerintahannya berbentuk kerajaan, bukan Khilafah.

Kesimpulannya, penentuan Aidiladha ditetapkan berdasarkan rukyatul hilal dan bukannya hisab. Rukyah yang diutamakan adalah rukyah dari penguasa Makkah. Kecuali jika penguasa Makkah tidak berhasil dalam melakukan rukyah, maka barulah dibuat rukyah di negeri-negeri yang lain. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment