Thursday, November 10, 2011

Pendidikan Islam Memacu Ketamadunan


Oleh: Abu Kauthar

 ZAMAN kegemilangan Islam bukan hanya dilihat kerana kejayaannya menguasai 2/3 dunia, tetapi juga kerana berjayanya sistem pendidikan Islam yang melahirkan tokoh-tokoh intelektual yang hebat. Sesungguhnya  Islam itu agama yang menyeluruh, maka pendidikan Islam juga berpaksikan dasar dan kerangka yang sama iaitu bersifat komprehensif, terorganisasi, bermatlamat, dan merangkumi segenap aspek. Arah tuju pendidikan Islam boleh dibahagikan kepada dua matlamat utama:
                Pertama, keperibadian (syakhsiyah) Islam. Maksud keperibadian di sini bukanlah akhlak semata-mata. Keperibadian Islam berdiri dengan dua aspek iaitu aspek pemikiran dan aspek sikap. Pembentukan keperibadian mestilah didasari oleh akidah yang muncul dari proses pemikiran yang mendalam dan dilenturi sikap istiqamah supaya tidak terkeluar dari ketetapan aqidah. Disusuli pula dengan peningkatan dan pemantapan tsaqafah (ilmu) Islam.

Kedua, penguasaan ilmu pengetahuan. Ilmu-ilmu ini merangkumi semua jenis ilmu yang ada di dunia ini. Para Fuqaha’ telah mengkategorikan bahagian ilmu itu kepada dua komponen besar iaitu:
·    Ilmu fardu 'ain, iaitu ilmu Islam yang wajib dipelajari setiap Muslim yang terdiri daripada hukum dan syariat Islam seperti Rukun- Rukun Islam dan Iman, mua’malah Islam, sirah Nabi s.a.w., Ulumul Quran, dan sebagainya. Ilmu inilah yang harus diberi keutamaan kerana keterangkumannya dalam segenap aspek juga merupakan teras bagi penguasaan kategori ilmu yang berikutnya.
·    Ilmu fardu kifayah,  iaitu ilmu-ilmu yang berkaitan realiti kehidupan dan kemaslahatan masyarakat meliputi pelbagai aspek. Rangkumannya meliputi sains dan teknologi, ilmu-ilmu alam dan praktikal serta kemahiran seperti ilmu kejuruteraan, fizik, kimia, komputer, rekacipta dan sebagainya. Ilmu kategori inilah yang mesti diawasi kerana kecenderungannya untuk pergi kepada penghasilan teori-teori yang bertentangan dengan Islam seperti teori evolusi Darwin, ilmu pengklonan manusia, dan lain-lain ilmu yang merosakkan.

Pendidikan Bersepadu 

                Bagi menghasilkan keberkesanan matlamat dan hasil, beberapa perkara harus menjadi perhatian:

Pertama, arah tuju pendidikan yang berorentasikan akidah Islam. Kedua, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat. Ketiga-tiga unsur ini mestilah juga dibangunkan dengan dasar akidah kerana individu bukan hanya berada di sekolah semata-mata, malah masa yang lama adalah berada di rumah dan berinteraksi dengan masyarakat.
Ketiga, strategi penyusunan kurikulum pendidikan dan tahap yang dilalui. Ciri-ciri pendidikan Islam antara lain:
·   Kurikulum pendidikan Islam yang paradigmatic. Berbeza dengan pendidikan hari ini yang bermatlamat melahirkan tenaga kerja sahaja, atau yang melahirkan generasi pintar tetapi materialistik dan individualistik (Luqman [31]: 13 - 27).
·   Pendidikan Islam berpijak di bumi yang nyata. Belajar bukan sekadar ilmu dan kata-kata. Allah telah melaknat orang-orang yang mengatakan sesuatu yang tidak dia kerjakan (Ash-Shaff [61]: 3)
·   Keutamaan disesuaikan dengan keperluan hukum syarak. Kaedah usul menyatakan “Jika tidak sempurna sesuatu kewajipan tanpa sesuatu, maka sesuatu tersebut menjadi wajib.” Ini bermaksud, amal yang merupakan fardhu ain seperti ibadah fardhu, mencari rezeki yang halal, muamalah yang sah dan sebagainya, maka mempelajari ilmunya juga adalah fardu ain. Sedangkan perkara yang haram seperti ilmu hitam, maka haram pula menuntutnya.
Tanggungjawab kejayaan pendidikan pada masyarakat, umpama sebuah bahtera yang sedang belayar, faktor kekukuhan, nakhoda dan penumpang diambil kira sebagai perkara yang memungkinkan sampainya bahtera tersebut ke tempat yang hendak dituju.
Khalifah Umar bin al-Khaththab dalam penyusunan struktur pendidikan yang ditulis kepada wali-walinya meletakkan asas pendidikan: “Sesudah itu (pendidikan agama), ajarkanlah kepada anak-anakmu berenang dan menunggang kuda, dan ceritakan kepada mereka adab sopan-santun dan syair-syair yang baik.”
Khatimah
                Islam memberikan penyelesaian terhadap semua masalah yang dihadapi oleh manusia sepanjang zaman. Penyelesaian yang disajikan Islam pastinya selaras dengan fitrah manusiawi. Dalam konteks pendidikan pula, Islam telah menentukan bahawa Negara wajib untuk mengatur segala aspek yang berkenaan dengan sistem pendidikan agar selari dengan roh Islam dan berusaha agar pendidikan dapat dinikmati oleh rakyat secara mudah.
                Sudah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, namun berapa ramaikah mujtahid yang dihasilkan? Inilah buktinya sistem pendidikan di Malaysia bukan berteraskan Islam.
Hanya dengan sistem pendidikan Islam, Islam mampu mencapai ketamadunan yang tinggi dan melahirkan tokoh sehebat Al-Khawarizmi, Imam Syafi’e, ibnu Rusyd, al-Battani dan lain-lain.  Sistem pendidikan Islam mampu membentuk generasi muda Islam yang bertaqwa dan berfikiran kelas pertama. Sistem pendidikan Islam ini jugalah adalah jawapan kepada 1001 masalah gejala sosial remaja dan semakin hari semakin parah kini.

No comments:

Post a Comment