Sunday, August 7, 2011

Ramadhan Untukku






JAM menunjukkan pukul enam setengah petang. Aku berjalan masuk ke dalam masjid menuju sekelompok mahasiswa yang sedang khusyuk mendengar ceramah Ustaz Fazwan. Hari ini hari pertama puasa. Aku dapat meneka sudah pasti tajuk ceramah hari ini berkisar topik Ramadhan. Ustaz Fazwan adalah individu yang banyak berjasa kepadaku. Aku mula rapat dengannya sejak setahun yang lalu. Banyak ilmu agama yang aku pelajari daripadanya.

Aku duduk di barisan agak belakang, namun suara Ustaz Fazwan yang lantang tetap jelas kedengaran.
“Kenapa lambat?” Joey mencuitku.
“Baru habis kelas,” jawab ku ringkas. “Aku ada berita tentang kawan kita Black. Nanti aku beritahu,” Joey menambah. Kami tidak meneruskan perbualan kerana mahu mendengar ceramah tentang Ramadhan tersebut.
“Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja bahkan tanpa ada keuzuran, maka dia berdosa besar,” terdengar Ustaz Fazwan berceramah. Kata-katanya itu menusuk kalbuku. Fikiranku melayang mengenang peristiwa setahun yang lepas.
“Kita hendak projek di mana ni, Joey?” aku bertanya. “Tempat baik punya. Ikut sahajalah,” Joey menjawab ringkas bagai malas hendak melayan soalanku. Kami menyusuri denai kecil menembusi semak dan belukar di belakang kolej kediaman. Tiga sahabatku yang lain sedang menunggu kedatangan kami. Kami telah merancang untuk menjamu selera bersama dengan nasi ayam yang dibeli Black pagi tadi.
                “Boleh tahan juga nasi ayam engkau ni Black. Pandai kau masak,” aku berseloroh disambung dengan hilai tawa anak-anak muda yang leka memuas nafsu kebulur.
         Bulan Ramadhan ataupun bulan lain terlihat sama sahaja bagiku. Bukannya aku tak faham agama. Tetapi kerana pengaruh kawan, aku turutkan jua. Pernah aku ditegur rakan sebilikku, Zubair. “Alah, ramai orang di luar sana berpuasa tapi tak solat pun. Sekurang-kurangnya aku solat,” Zubair yang sudah lima tahun masuk Islam itu menggeleng kepala mendengar jawapanku.
“Hoi, tak puasa ya! Jangan lari!” tiba-tiba kami dikejutkan oleh suatu suara yang kasar. Rupa-rupanya suara orang-orang masjid yang menjalankan operasi menangkap orang yang tidak puasa. Black cuba lari tetapi tersungkur menyembah bumi.  Beberapa orang petugas menangkapku. Terlihat olehku jasad Black yang kaku tidak bergerak. Dua orang petugas mengangkat sekujur tubuh Black. Darah merah pekat mengalir dari ubun- ubunnya. Kami diasak ke dalam van jenazah. Kaget kami melihat keadaan Black. Dia diusung menaiki kereta salah seorang petugas untuk dibawa ke hospital. Kami  bertiga pula diarak menaiki van jenazah mengelilingi kampus universiti.
                Semenjak hari itu, aku dan yang lain diwajibkan menghadiri kelas pemulihan setiap minggu. Sejak itu juga aku mula rapat dengan Ustaz Fazwan. Dengannyalah aku belajar agama yang selama ini aku ketandusan. Black ditempatkan di unit rawatan rapi. Dengarnya, luka di kepalanya parah.
“Jauh kau termenung Fathi,” lamunanku dikejutkan oleh suara yang amat ku kenal, Ustaz Fazwan. Tangan kanannya menepuk bahuku. Aku hanya tersenyum. Tidak kusedari yang ceramah telah pun berakhir. “Yang lepas tu biarlah berlalu. Kita buka lembaran baru,” pensyarah Fakulti Pengajian Islam itu seolah-olah mengerti akan apa yang aku fikirkan.
                “Ustaz, kenapa ada orang yang degil walaupun telah tahu keharaman sesuatu perkara itu?,” tanyaku.
“Makanya harus ada undang-undang Islam yang akan menghukum orang-orang degil ini.”
“Mana nak cari undang-undang Islam di zaman demokrasi ni ustaz? Hudud itu ‘terrorrist’. Agama itu ekstrimis.” Ustaz Fazwan hanya ketawa kecil. Dia tidak pernah jemu menjawab soalan anak didiknya ini.
“Penerapan hukum Allah hanya akan terjadi sekiranya adanya Daulah Islam.” Belum pun sempat aku hendak melanjutkan pertanyaan, Ustaz Fazwan terus menjawab, “Makanya kita perlu melakukan kerja dakwah.” Aku ketawa kecil.
Azan maghrib telah kedengaran. Ya Allah! Aku benar-benar berdosa. Ampunilah aku ya Allah. Apakah masih ada Ramadhan akan datang untukku?

No comments:

Post a Comment