Sunday, August 7, 2011

RAMADHAN: Semarakkan Ibadah dan Perjuangan

 SYUKUR kehadrat Allah swt kerana memberikan kita semua kesempatan sekali lagi berada dibulan Ramadhan, bulan yang penuh rahmat, barakah, keampunan dan dilimpahi dengan keistimewaan yang tidak terdapat di bulan yang lain seperti turunnya Al-Quran, malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu “Lailatul Qadar” dan syaitan dibelenggu.
                Sesiapa sahaja yang berpuasa kerana mengharapkan redha Allah swt, akan diampunkan dosa-dosa yang lalu seumpama baru dilahirkan dari rahim ibunya. Ibadah sunat dilipat gandakan Allah bersamaan pahala ibadah wajib, dan pahala ibadah wajib sehingga 700 kali ganda. Bulan Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan jihad, dan bulan kemenangan bagi umat Islam. Di bulan ini, Allah swt memberikan kemenagan kepada kaum muslimin ke atas kejayaan pembebasan kota Mekah (fathul Makkah), perang Badar, penaklukan Andalusia dan banyak lagi.
Bulan Ramadhan juga merupakan bulan membaca Al-Quran, bulan mengeluarkan zakat fitrah, bulan memakmurkan masjid, bulan taubat kepada Allah, bulan silaturrahim, bulan menolong mereka yang memerlukan, bulan menjaga lisan dan perbuatan, bulan untuk memperbaharui dan mengukuhkan iman, serta bulan untuk menyucikan hati dan pemikiran. Itulah bulan Ramadhan yang setiap detiknya merupakan kemuliaan dan keutamaan.
                Allah swt mengaitkan puasa di bulan Ramadhan dengan ketaqwaan seperti firmanNya dalam surah Al Baqarah, ayat 183: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Minhajul ‘Abidin menyebutkan bahawa dengan adanya taqwa dalam diri, setiap muslim memiliki perasaan sangat takut kepada Allah swt, hanya ber­bakti dan tunduk kepada-Nya, serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa.
                Taqwa adalah manifestasi lisan, hati, dan perbuatan. Allah swt berfirman dalam surah Al Hasyr [59] ayat 7 : “Ambillah apa saja yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu. Dan tinggalkanlah apa saja yang dilarangnya kepada kamu; dan bertaqwalah kepada Allah.”
                Allah swt juga berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian semua ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan.”.
                Ayat ini jelas menyatakan Taqwa memerlukan pembuktian dengan mengambil seluruh syari’at Islam, melakukan semua perintah dan meninggalkan apa jua yang dilarang dengan sekuat tenaga tanpa ragu-ragu.
Bulan Ramadhan juga adalah simbol kesatuan umat Islam. Namun, terdapat hikmah yang jarang disedari oleh kaum muslimin, iaitu tuntutan untuk kembalinya kaum muslim menjadi umat yang satu (ummatan wahidah), berpegang taguh kepada Al-Quran sebagai tali Allah Rabbul ‘Alamin, penerapan seluruh hukum Allah swt, serta mengembangkan risalah Islam untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kuno mahupun moden untuk menuju cahaya Islam.
Timbul persoalan! Mengapakah ada perbezaan penetapan awal Ramadhan dan Syawal bagi di negara-negara umat Islam? Agama nasrani walaupun majoriti penganut mereka tidak mengamalkan ajaran kitab bible mereka, tetapi mereka menyambut sambutan Krismas serentak! Bagaimana umat Islam mahu bersatu melawan penindasan kafir laknatullah jika isu yang kecil ini pun gagal diselesaikan?
Islam memang ada penyelesaian terhadap masalah ini. Penetapan awal Ramadhan dan Syawal adalah berdasarkan rukyah (pemerhatian menggunakan mata secara langsung), bukanlah melalui hisab (pengiraan). Dengan kata lain, penetapan hilal (anak bulan) wajib bersandarkan pada kesaksian seorang muslim yang adil yang telah menyaksikan bulan secara langsung, bukan berdasarkan perhitungan. Kesaksian pula cukup dilakukan oleh seorang yang adil. Ini didasarkan pada riwayat berikut;
“Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, ia berkata: Ada seorang Arab mendatangi Rasulullah saw dan berkata: ‘Aku telah melihat bulan (hilal), iaitu bulan Ramadhan.’ Kemudian Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah engkau telah bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar’. Rasulullah bertanya lagi: ‘Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Benar’. Rasulullah Saw bersabda: ‘Wahai Bilal, berdirilah dan kumandangkan azan, dan beritahu mereka (kaum Muslim) agar berpuasa pada esok hari.”
                Pada zaman yang serba moden dengan kecanggihan teknologi pencerapan hilal dan komunikasi antara negara-negara umat Islam, sepatutnya tiada sebab untuk kita tidak boleh bersatu menyambut hari yang penuh barakah ini bersama kecuali wujudnya faktor-faktor kepentingan tertentu. Impak dari perbezaan ini sebenarnya adalah kesalahan yang serius! Akan ada sebahagian umat Islam di sesetengah negara yang akan berpuasa pada hari yang diharamkan berpuasa (1 syawal). Kita juga akan keliru dalam meramalkan malam lailatul qadar. Rasullullah saw mengatakan lailatul qadar akan datang pada malam ganjil. Jadi, malam ganjil di negara manakah yang akan berlakunya lailatul qadar? Malaysia atau Arab Saudi?
Ada yang mengatakan perbezaan ini adalah khilaf dikalangan ulamak. Tapi, persoalannya, sejauh manakah usaha kita berusaha bersatu mencari penyelesaian agar umat Islam diseluruh dunia dapat menyambut Ramadhan dan Aidilfitri serentak?
                Penyelesaiannya tidak lain iaitu  kembalikan syariat Islam secara Kaffah (keseluruhan). Marilah sama-sama semarakkan sambutan Ramadhan kali ini dengan semangat ibadah dan perjuangan menyeru kepada Islam Kaffah agar umat Islam mampu bangkit dan menjadi umat yang mulia sebagaimana Rasulullah saw, para sahabat dan umat Islam terdahulu.
Selamat menjalani ibadah Ramadhan 1432H.

No comments:

Post a Comment