Friday, December 9, 2011

Cerpen - Hijrah Menuju Hidayah


Oleh: Ibn Shams
HUJAN agak lebat di luar. Malam itu aku dan rakan serumah, Adi dan Jon, tidak dapat makan malam di luar. “Hai, nampaknya makan Meggi lah kita malam ni! Beras dah habis. Peti ais pun kosong ja”, Adi memecah kesuraman malam itu. Lalu aku membalas, ”Okeylah ada Meggi. Kalau tak engkau aku sembelih buat sup.” Aku ketawa sambil Adi mencebik mulutnya tanda geram. Aku ke dapur memanaskan air.
“Jon buat apa dalam bilik tu? Asyik berkurung ja?” aku bertanya. “Entahlah, putus cinta kut!” Adi kemudian mengetuk pintu bilik Jon. Jon keluar dengan mukanya yang masam. Aku bertanya mengapa dia masam sahaja. “Kita kan kawan. Ada masalah, ceritalah,” aku menambah.
“Kau orang sedar tak esok Ma’al Hijrah?” Jon bertanya lalu menambah,”Aku nak berhijrahlah.” “Kau nak pindah mana pula ni? Tinggal ja lah dengan kita orang!” Adi menyampuk. “Aku bukan cerita itu! Aku nak berubah. Aku banyak buat silap.” Pelik juga pengakuan mamat seorang ni. Aku memang tak berapa tahu latar belakang Jon ni sebab dia berahsia orangnya. “Dosa apa yang kau dah buat? Jangan kata kau dah rosakkan anak dara orang?” aku berseloroh disambung hilai tawa aku dan Adi. “Betul!” aku dan Adi tersedak mendengar kata-kata Jon itu. Tak pernah terfikir oleh kami Jon seberani itu. “Kau biar betul!” Adi nampak marah betul sampai sudah bersedia hendak menumbuk Jon. “Sabar Adi. Bukan hak kita nak menghukum Jon,” aku cuba menahan Adi.
“Aku dah insaf dan aku nak berhijrah menjadi mukmin yang lebih baik. Aliff, bagaimana dapat aku hapuskan dosa zina aku ni?” Jon nampak ikhlas hendah berubah. “Kalau dalam Islam, kena sebat seratus kali ni baru terampun dosa kau,” aku menjawab. Jon lalu bangun dan menuju ke dapur. Apa pula yang hendak dibuat oleh si mamat seorang ni? “Nah, tolong sebat aku seratus kali!” Jon menghulurkan sebatang penyapu kepadaku lalu menghalakan belakang badannya kepadaku. Aku mengambilnya dan memukul kepala Jon. “Aduh, aku suruh sebat bukan pukul!” Jon menjerit, Adi tertawa.
Aku menerangkan,”Dengan cara ini masih tak terampun dosa kau. Seharusnya penguasa yang menjatuhkan hukuman, bukan orang awam macam aku.” “Aliff betul. Penguasa itu pula mestilah memerintah dengan undang-undang Allah, bukan undang-undang kufur macam sekarang ni,” Adi masih mahu menyampuk. “Wah, dah macam ustaz kau ya Adi! Habis tu, mana aku nak cari negara yang menerapkan undang-undang Islam 100%?” Jon memandang aku dengan wajah keliru. “Tidak ada. Kerana itu kita wajib berusaha mendapatkan hijrah kali kedua. Hijrah dari negara kufur kepada Daulah Islam ala minhaj nubuwwah. Selepas itu barulah hukuman Hudud yang dijalankan akan menghapus dosa kau, Jon.”
Tok! Tok! Bualan kami terhenti ketika pintu rumah sewa kami diketuk. Aku membuka pintu. Kelihatan dua orang anggota polis berpakaian lengkap berdiri di muka pintu. “Encik, kami dari Balai Polis Ampang. Kami mencari Mohd Johari Nasir, dia ada di sini?” “Saya encik. Ada apa ni?” Jon bingkas ke muka pintu. ”Begini encik. Kami telah menemui mayat seorang wanita dan bayi di sebuah rumah sewa. Wanita itu dipercayai membunuh bayi sebelum meminum racun untuk membunuh diri. Encik kenal wanita ini? ” salah seorang anggota polis memberi penerangan dan menunjukkan gambar kepada Jon. “Ini bekas kekasih saya.” “Kalau begitu sila ikut kami ke balai untuk membantu siasatan.”
Astaghfirullahalazim. Aku dan Adi saling berpandangan. Jon berlalu mengikuti anggota polis itu dengan wajah sugul. Malam itu, aku dan Adi tidak banyak berbicara. Kami masih terkesima dengan apa yang berlaku sebentar tadi.

Thursday, December 8, 2011

Bahaya Penyimpangan Pemikiran Gerakan Islam



Oleh: Mohd Saifuddin Bin Ariffin

Aktiviti dakwah mencakupi beberapa prinsip utama yang sangat ditekankan, diantaranya penetapan tujuan (ghayah), method dakwah (thariqah/manhaj) dan keterikatan dengan hukum syarak. Keterikatan dengan hukum syarak meliputi seluruh amal perbuatan manusia, termasuk aktiviti berpolitik. Oleh itu, aktiviti politik tidak boleh terlepas dari pengaturan syariah, termasuklah tujuan dan method pelaksanaannya. Prinsip ini adalah asas kepada fikih haraki.
Namun realiti hari ini kita melihat banyak terjadi penyimpangan dan penyelewengan, baik menyangkut penetapan tujuan mahupun method dakwah. Misalnya wujud gerakan dakwah yang menetapkan tujuannya adalah ‘membentuk masyarakat madani’. Walaupun denifasinya seakan islami, namun terminologi ‘masyarakat madani’ sebenarnya merujuk kepada konsep civil society, sebuah idea yang lahir pada abad ke-17 (abad pencerahan) di Eropah yang intipatinya merujuk kepada masyarakat sekular dan demokratik yang merupakan antitesis daripada masyarakat yang sebelumya hidup dibawah kekangan sistem monarki dan hemogeni gereja.
Selain penyimpangan tujuan, penyimpangan dalam method dakwah juga sering berlaku. Berpunca dari cengkaman pola fikir pragmatisma yang mengagungkan manfaat yang diperoleh, iaitu prinsip ‘The end justifies the means’ (tujuan menghalalkan segala cara). Inilah prinsip rumusan Nicollo Machiaveli didalam karyanya The Prince.
Sesungguhnya tujuan yang benar, wajib ditempuh dengan jalan yang benar. Islam tidak  memperakui prinsip Machiavelis songsang ini. Yang benar didalam Islam, sebagaimana yang dirumuskan oleh Imam Taqiuddin An-Nabhani, yakni tujuan tidak menghalalkan sebarang cara (Al-ghayah la tubarriru Al-wasilah), berdasarkan firman Allah SWT didalam surah Al-Maidah ayat ke-48 yang bermaksud, “Hendaklah kamu memutuskan perkara diantara mereka menurut apa yang Allah turunkan”. Ayat ini menurut beliau, menjelaskan bahawa perbuatan, baik menyangkut tujuan atau method, mestilah bi ma anzalallah (apa yang Allah turunkan), iaitu dalil syarak bukannya hasil atau manfaat yang diperoleh dari perbuatan.
Maka, jelaslah penyimpangannya jika sesebuah parti atau kelompok Islam yang bertujuan meraih kekuasaan dengan menggunakan strategi atau jalan yang diharamkan, misalnya tidak lagi memperjuangkan syariah sebagai tujuan utama, menjadi parti yang terbuka kepada golongan bukan Islam, berkoalasi/bergabung dengan parti sekular mahupun terlibat dengan sistem pemerintahan sekular.
Semua strategi atau langkah ini tidak mencerminkan method (thariqah/manhaj) yang dituntut oleh Islam, melainkan method yang didasari oleh ideologi kapitalisma, iaitu pragmatisma. Pragmatisma adalah aliran pemikiran yang memandang bahawa benar-tidaknya sesuatu ungkapan, dalil atau teori semata-mata bergantung kepada berfaedah atau tidak perkara tersebut dalam kehidupan. Pragmatisma merupakan budaya dan tradisi Amarika khususnya dan barat amnya, dengan tokoh Willliam James (1842-1920), Charles S. Peirce (1839-1942) dan John Dewey (1859-1952). Jadi parti Islam yang mengamalkan pragmatism sebenarnya bukanlah parti Islam yang sejati, melainkan parti Islam yang diselimuti oleh ideologi kafir penjajah.
Kesimpulan
Strategi menghalalkan segala cara yang ditempuh parti atau kelompok Islam setidaknya menimbulkan bahaya (dharar) bagi tiga pihak. Pertama: Bagi parti Islam yang mengamalkannya. Parti itu akan terancam oleh bahaya ideologi. Maksudnya, ideologi parti, baik fikrah (pemikiran) mahupun thariqah (method) akan mengalami kehancuran. Kedua: bagi masyarakat umum. Ini kerana tindakannya boleh memesongkan pemikiran masyarakat, disamping memperburukkan citra parti Islam dimata masyarakat. Ketiga: Bagi anggota parti Islam itu sendiri. Bahaya ini muncul kerana anggota parti Islam itu umumnya adalah orang-orang yang ikhlas, patuh dan taat kepada kepimpinan (qiyadah) parti, namun dengan tercemarnya pemikiran yang diadaptasi  oleh parti memberikan kesan langsung kepada anggotanya, malahan telah mengkhianati kepercayaan anggota mahupun umat yang menyokong mereka.

Mengapa Daulah Islam Yang Agung Akhirnya Runtuh?



Oleh: Ibnu Salleh
TIDAK dapat dinafikan lagi Daulah Islam (Daulah Khilafah) merupakan cahaya keagungan dunia suatu ketika dahulu. Kehebatan Daulah Islam ketika itu membuatkan Islam dan umatnya dipandang mulia. Namun keagungan ini tidak berkekalan disebabkan lima faktor.
Pertama: lemahnya aspek pemikiran. Masalah ini bermula pada zaman pemerintahan Dinasti Mamalik. Isu bahasa arab, aspek pemikiran dan perundangan negara mula diremehkan. Hal ini jelas apabila pintu ijtihad ditutup dan penguasa mewajibkan ulama’ untuk bertaklid. Tanpa disedari, khalifah ketika itu telah menyebabkan lemahnya pemahaman Islam kepada umatnya dan sekaligus kedudukan Daulah Islam mulai goyang.
Kedua: munculnya masalah ketimuran. Para pemerhati muslim pastinya berbangga melihat ketakutan barat terhadap tentera dibawah pimpinan Khalifah Muhammad Al-Fateh pada abad ke-9 Hijriah (abab ke-15) juga para sultan selepasnya. Perluasan Negara Islam terus berlangsung sehingga abad ke-11 H ditangan Sulaiman al-Qanuniy. Beliau berjaya mengukuhkan kekuatan Daulah Islam sehingga abad ke-12 H.
Namun dalam keghairahan para pemerintah ketika itu melaksanakan futuhat Islam dengan banyak kemenangan setiap siri jihad yang dilancarkan, mereka alpa aspek pemikiran Islam (Dakwah) dan penerapan sistem Islam secara keseluruhan terhadap negara-negara taklukan.  Abad ke-18M, akibat kealpaan tersebut, kekuatan Daulah Khilafah tidak lagi dilihat Barat sebagai hasil dari pancaran akidah Islam seperti pandangan Quraisy kepada Daulah Islam di Madinah, melainkan kekuatan hasil warisan generasi sebelumnya. Para pemerhati barat ketika itu melihat persaingan yang wujud antara Daulah Islam dan barat  tidak lagi sebagai “Islam vs Barat” melainkan “Timur vs Barat”.
Kealpaan Dakwah Islam semakin rumit apabila Barat muncul revolusi industri dan kekuatan teknologi sehingga menggugat kekuatan Daulah Islam. Daulah Islam yang pada hakikatnya melayan barat sebagai isu “Islam Vs Barat” telah berubah arah menghadapi persaingan teknologi ini dengan rentak barat menghadapi daulah iaitu “Timur Vs Barat”.
Para pemerintah Uthmaniyyah ketika itu telah mula menyibukkan rakyatnya untuk bersaing dalam bidang teknologi dengan barat sehingga aspek pemikiran Islam tidak lagi menjadi isu yang terpenting Daulah Islam. Perubahan politik daulah ini mengakibatkan ketaqwaan dikalangan para penguasa dan rakyat daulah semakin melemah sehingga munculnya tali barut barat dikalangan para duta Islam di negara barat. Bangsa Barat mula menampakkan taringnya dan kaum muslimin semakin melemah.
Ketiga: Buruknya penerapan sistem Islam.  Kealpaan pemeliharaan aspek pemikiran islam oleh para Khalifah Uthmaniyyah melahirkan suasana perlaksanaan Islam penuh dengan simpang-siul. Setiap isu ditangani bersandarkan pada pemikiran islam yang membingungkan. Para ulama’ hilang keupayaan melakukan ijtihad.  Hasilnya itu Daulah Islam mengalami transisi kebingungan penerapan sistem Islam dan buruknya penyusunan perundangan Islam yang akhirnya keunikan daulah Islam yang mempunyai sistem kehidupan yang khas dan sempurna tidak lagi dilihat sekaligus imej Daulah Islam sebagai kuasa berpengaruh berlakunya kegoncangan.
Keempat: Negara-negara kafir barat semakin berpengaruh. Abad ke-13 H (19M), kedudukan Daulah Khilafah Uthmaniyyah mula mendapat goncangan dari negara-negara kafir barat. Pengaruh negara barat telah mula melemahkan pengaruh Daulah Islam. Di Barat mulai muncul gerakan-gerakan kebangkitan yang mula mendapat perhatian dunia.
Sementara ditengah-tengah Daulah Islam, kaum muslimin mengalami kejumudan pemikiran dan buruknya penerapan Islam semakin terserlah. Walhasilnya gerakan kebangkitan barat yang mengalami revolusi pemikiran mula mendapat perhatian kaum muslimin melalui penulisan para falsafah dan pemikir barat. Tanpa disedari kaum muslimin, tindakan mereka mengambil pemikiran-pemikiran barat untuk menyelesaikan masalah-masalah kejumudan dikalangan mereka sebenarnya menambahkan lagi kerumitan masalah di dalam tubuh Daulah Islam sekaligus memperkuatkan lagi pengaruh negara kafir barat.
Kelima: Adanya benih-benih serangan terhadap kaum muslimin dan Daulah Islam. Akibat buruknya pemahaman Islam dan ketidakmampuan Daulah Khilafah Uthmaniyyah menjaga warganya untuk tetap dengan pemikiran Islam, umat mula tidak memandang kemajuan teknologi dan penemuan-penemuan yang bersumber dari Islam. Mereka mula hilang keyakinan terhadap keupayaan Islam sebagai cara hidup. Mereka mula meniru dan mengambil apa-apa pemikiran yang datang dari barat tanpa melihat lagi sama ada pandangan barat itu bercanggah dengan Islam atau sebaliknya.
Sikap mengagungkan barat menyebabkan Daulah Islam semakin lemah sehingga tidak mampu bangun mempertahankan kelemahannya. Kelemahan ini menimbulkan keberanian musuh-musuh Islam untuk memecahkan negara seluas 2/3 dunia ini kepada serpihan negara-negara yang kecil. Goncangan ini tidak dapat ditolak oleh Daulah Islam malah menerimanya dengan penuh pasrah. Belum cukup dengan serangan itu, para misionaris juga mengambil kesempatan melancarkan serangan terhadap Islam dengan bertopeng disebalik sekolah-sekolah dan gerakan-gerakan kebajikan. Mereka berhasil menyalakan api fitnah di dalam Daulah Islam.
Para Misionaris berjaya meniupkan semangat nasionalisme diseluruh bahagian Daulah Islam iaitu di Balkan, Turki, negara-negara Arab, Armenia dan Kurdistan. Pada Tahun 1914 M, negara berada di jurang keruntuhan dan terheret ke dalam Perang Dunia Pertama, menjadi pihak yang kalah dan akhirnya dihancurkan. Pada Tanggal 3 Mac 1924, Daulah Khilafah dihapuskan secara rasminya oleh Mustafa Kamal laknatullah dengan bantuan pihak barat. Setelah itu dunia kaum muslimin dicorakkan sebagai negara-negara bangsa dengan sistem pemerintahan kufur iaitu demokrasi hinggalah kini.

Ringkasan Buku Daulah Islam, Syeikh Taqiyuddin An-Nabahani.

Wednesday, December 7, 2011

Cerpen: Hajinya Pak Aji


Oleh: Ibn Shams

“Assalamualaikum,” terdengar suara orang dari luar memberi salam. Aku segera ke pintu untuk menyambut tetamu itu.
                “Walaikumussalam. Eh, Pak Aji! Jemput masuk,” aku mempersilakan orang tua berjubah dan berserban itu masuk ke rumahku. “Ada hajat apa Pak Aji?” “Aku dengar kau nak menunaikan haji, ya?” Pak Aji bertanya. “Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya. Saya pergi dengan emak. Ayah tak dapat pergi sebab uzur,” aku menjawab.
                “Aku bukan apa. Nak bagi nasihat sikit pada engkau. Maklumlah, aku ni kan dah lima kali menunaikan haji.” Aku tersengeh mendengar omongan Pak Aji. Apalah yang difikirkan oleh orang tua ini agaknya. “Aku ni dah jumpa macam-macam orang. Kalau pergi ke sana, jangan main-main. Tu kan tanah haram, silap langkah nanti Allah bayar ‘cash’ je di sana. Ada orang sesat tak jumpa kaabah lah, sakit lah, macam-macam.” Ada-ada sajalah Pak Aji ni. Sebenarnya aku tahu sangat perangai Pak Aji ni. Kalau mana-mana orang kampung nak pergi haji, pasti dia akan ziarah nak menunjuk-nunjuk yang dia dah pergi haji banyak kali. Sudah puas orang kampung menasihatinya tapi dia buat tak endah sahaja.
“Kau tahu, aku dulu lima kali buat haji, lima kali dapat cium hajar aswad tau. Hari-hari aku solat di masjidil haram aku doa menangis-nangis.” Pak Aji menyambung ceritanya itu. “Sudah-sudahlah tu Aji. Masuk yang ini dah sepuluh kali aku dengar cerita engkau tu. Kita pergi haji untuk beribadah, bukan untuk menunjuk-nunjuk,” ayah menyampuk. Aku segera memapah ayah yang baru keluar dari bilik ke kerusi rotan. Ibu keluar dari dapur membawa kopi dan kuih cucur udang.
                “Alah, kau mana tahu! Kau sendiri pun belum pernah pergi haji,” Pak Aji menjeling, agaknya terasa dengan teguran ayah. “Aku ni kan uzur. Cukuplah aku upah orang buat haji.” Seraya mendengar jawapan ayah, Pak Aji menambah,”Ah, mana sama upah orang dengan buat sendiri!” Naik hairan aku melihat telatah Pak Aji ini. Umur sudah lanjut, tetapi masih berperangai macam budak-budak. Buat haji dah banyak kali, tetapi tak macam orang dah pergi haji. Asal balik dari haji, Pak Aji akan bermegah-megah dengan barangan yang dibelinya di sana. Sudah lima kali, bukan sikit tu. Benarlah hidayah itu milik Allah buat orang yang memilih kebaikan.
                “Ni, aku nak tanya kau Aji. Kau dah lima kali pergi haji, tapi kenapa aku tak pernah nampak kau ke masjid? Lagi pelik, asal balik dari masjid sahaja pasti aku lihat kau di kedai kopi. Kau tak solat ke?” terkejut juga aku mendengar soalan pedas keluar dari mulut ayah. “Itulah kau tak tahu. Aku ni dah sampai tahap makrifat. Semua dalam rukun Islam aku dah buat. Mengucap syahadah, solat, puasa, bayar zakat, dan yang terakhir buat haji. Dah cukup lima-lima ni aku buat, dah lengkap la rukun Islam aku. Tak perlulah solat lagi.” Tergelak aku mendengar jawapan Pak Aji itu. Macam ni punya orang pun ada. Ayah tidak puas hati. Beliau menempelak,”Hish, kamu ni! Dari mana kamu belajar Islam macam ni?” “Dari Ustaz Syafie lah, yang datang dari seberang tu. Dia wali agung tahu! Aku sedang berguru dengan dialah ni. Suatu hari nanti aku pasti akan jadi wali macam dia. Rugi kau tak ikut aku,” Pak Aji menjawab dengan bangga. Astaghfirullahal’azim! Aku dan ayah menggeleng kepala.
                “Bawa mengucap Aji. Ajaran sesat mana yang kau ikut ni. Dah terpesong pegangan kau ni. Cepat-cepatlah bertaubat sebelum terlambat. Kita ni bukan muda lagi. Bila-bila sahaja akan dijemput kembali kepada-Nya. Jangan nanti kerugian di akhirat,” ayah bersungguh-sungguh menasihati Pak Aji.
“Ah, jangan kau pandai-pandai nak mengajar aku!” berang dengan nasihat ayah Pak Aji dengan kasar bangun dan keluar dari rumah. Marah sangat nampaknya sampai belum sempat menjamah cucur udang yang emak hidangkan. Aku dan ayah saling berpandangan.
                Ayah menjelaskan inilah bahana tiadanya institusi yang dapat memelihara aqidah umat Islam. Orang Islam mudah terpedaya dengan ajaran sesat. Bukan itu sahaja, malah tidak kurang juga yang murtad. Seharusnya tanggugjawab ini dipikul pemerintah dan bukan hanya mengharapkan badan-badan dakwah mahupun jemaah Islam sahaja yang mengambil tindakan. Pelaksanaan syariat Islam yang sempurna pasti akan dapat memelihara aqidah kita agar tidak terpesong. Wallahua’lam.

Thursday, November 10, 2011

Ibadah Haji: Penyatuan Umat Islam dan Pentingnya Daulah Khilafah

Oleh: Kalam Putih

Di antara pengajaran terpenting dari ibadah haji ialah ingatan tentang penyatuan umat islam (wahdah al-ummah). Umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berkumpul untuk melakukan ibadah yang sama, zikir yang sama, di tempat yang sama dan dengan busana ihram yang sama; tanpa mempedulikan lagi batasan negara bangsa (nation state), berbezaan suku, warna kulit, bangsa, dsb.

Semua itu mengingatkan kita akan sifat umat Islam sebagai umat yang satu (ummatan wahidah). Rasulullah saw. menegaskan hal itu di dalam Piagam Madinah:

Ini adalah piagam perjanjian dari Muhammad saw. antara orang-orang Muslim dan Mukmin dari Quraisy dan Yatsrib serta orang-orang yang menyusul mereka, bergabung dengan mereka dan berjihad dengan mereka. Sesungguhnya mereka adalah umat yang satu (ummatan wahidah), berbeza dengan manusia lainnya.

Wujudnya sifat umat yang satu itu tiada lain karena adanya tali pengikat yang satu di antara mereka, yaitu agama Islam. Maka Allah SWT berfirman:


وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Berpeganglah kalian semuanya dengan tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai (QS Ali Imran [3]: 103).

Persatuan Hakiki


Berkumpulnya jamaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan menyedarkan mereka, bahawa yang mempersatukan umat Islam hanya satu faktor saja, yaitu agama Allah (Islam). Sementara faktor lainnya baik suku, warna kulit, bangsa, dsb, sesungguhnya bukanlah faktor yang menyatukan mereka. Tidak ada manusia yang berkuasa memilih atau menolak dilahirkan sebagai suku, warna kulit, atau bangsa tertentu. Semua itu hanyalah qadha yang terkait dengan penciptaan manusia, tanpa ada kuasa dan hak memilih bagi manusia. Allah menciptakan manusia berbilang bangsa untuk manusia saling mengenal. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Hai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang perempuan serta menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling mengenal (QS al Hujurat [49]: 13).

Walaupun umat Islam terdiri dari berbilang bangsa dan warna kulit. Namun dengan perbezaan dan keragaman itu umat Islam tetap merupakan umat yang satu dan ibarat satu tubuh sebagaimana digambarkan oleh Nabi saw.:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ فِي تَواَدِهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُم عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَى

Perumpamaan kaum Mukmin dalam hal saling mencintai, menyayangi dan berlemah lembut adalah umpama satu tubuh. Jika ada satu organ tubuh yang sakit maka seluruh tubuh lainnya akan turut tidak boleh tidur dan merasa demam (HR Muslim).
Jelaslah, inilah diantara pengajaran terpenting dari ibadah haji, iaitu ingatan tentang penyatuan umat Islam. Umat Islam dari seluruh pelusuk dunia seharusnya menjadi umat yang satu.

Dasar Penyatuan

Penyatuan umat Islam dan sifat umat yang satu itulah yang menjadi dasar dari adanya negara yang satu (dawlah wahidah), iaitu satu negara Khilafah dengan satu kepemimpinan seorang khalifah untuk seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Jika kebangsaan menjadi dasar bagi negara-bangsa, maka bagi umat Islam, sifat umat yang satu menjadi dasar bagi negara Khilafah yang satu. Tidak boleh ada lebih dari satu negara Khilafah bagi seluruh kaum Muslim dari Maghribi hingga ke Indonesia. Rasulullah saw. bersabda:


إِذَا بُوْيِعَ لِخَلِيْفَتَيْنِ فَاقْتُلُوْا الآخِرَ مِنْهُمَا

Jika dibaiat dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya
(HR Muslim).

Berdasarkan nas-nas tersebut, “Imam-imam mazhab yang empat sepakat bahwa tidak boleh kaum Muslim pada masa yang sama di seluruh dunia mempunyai dua Imam (Khalifah), baik keduanya bersepakat maupun bermusuhan”

Imam an-Nawawi juga menegaskan: “Para ulama telah sepakat bahwa tidak boleh mengangkat dua orang Khalifah pada waktu yang sama, baik Darul Islam itu luas maupun tidak.

Urgensi Khilafah


Pengajaran penting lainnya dari ibadah haji adalah kesedaran akan perlunya negara Khilafah (ahammiyah dawlah al-Khilafah). Dapat disaksikan bahwa kaum Muslim datang ke Tanah Suci untuk berhaji dari berbagai negeri di lima benua berbeza, bukan hanya dari Jazirah Arab yang menjadi titik bermulanya agama Islam yang dibawa Nabi Muhammad saw.

Bagaimana Islam dapat tersebar sedemikian luas? Sesungguhnya, jawapannya hanya satu. Adanya umat Islam yang berada di berbagai negera di pelbagai pelusuk bumi terjadi kerana adanya negara Khilafah yang melakukan futuhat (penaklukan) dan aktiviti dakwah ke seluruh dunia.

Para ulama besar termasuk Walisongo yang menyebarkan dakwah di Nusantara pada sekitar abad 14 atau 15 M yang lalu, juga tidak lepas dari jasa Khilafah. Khilafah Utsmaniyah di Turki telah menghantar para dai yang kemudiannya disebut dengan Walisongo untuk menyebarkan dakwah Islam di Nusantara.

Oleh sebab itu, fenomena jamaah haji yang berasal dari pelbagai negeri di segala penjuru dunia itu semestinya menyedarkan kita akan urgensi Daulah Khilafah. Sebab, salah satu urgensi Khilafah adalah menyebarkan risalah Islam ke seluruh dunia, dengan dakwah dan jihad fi sabilillah. Tanpa adanya negara Khilafah yang melakukan aktiviti dakwah dan jihad, nescaya kita tidak akan menyaksikan fenomena menakjubkan berkumpulnya jamaah haji dari seluruh penjuru dunia itu.

Adanya negara Khilafah sangat mustahak kerana menjadi pelaksana aktiviti dakwah dan jihad untuk menyebarkan Islam ke seluruh umat manusia. Maka, sifat Islam sebagai risalah universal hanya akan terlaksana dengan adanya negara Khilafah. Allah SWT berfirman: 



وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا

Tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan kepada seluruh umat manusia, sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan (QS Saba` [34]: 28).

Selain itu, penerapan syariah Islam seperti pelaksanaan hudud, jinayat, kutipan dan pembahagian zakat, serta pelaksanaan pelbagai sistem kehidupan, termasuk kesempurnaan pelaksanaan ibadah bertumpu dan bergantung kepada keberadaan negara Khilafah. Bermaksud, tanpa adanya Khilafah, banyak kewajiban syariah tidak mungkin terlaksana secara sempurna.

Maka dari itu, Khilafah jelas sangat mustahak demi sempurnanya pelaksanaan pelbagai kewajiban syariah. Hal ini sesuai kaedah syara’:


مَا لاَ يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَواَجِبٌ

Selama suatu kewajiban tidak terlaksana kecuali dengan sesuatu, maka sesuatu itu wajib pula hukumnya.

Wallâhu a’lam bi ash-shawâb.