Oleh: Abu
Syakir
DALAM
kehadiran dan kemeriahan sambutan Syawal tahun ini, wajarlah juga kita untuk
menyingkapi beberapa peristiwa bersejarah yang pernah umat Islam lalui di bulan
Syawal:
Sambutan Hari Raya Pertama Umat Islam
Pada tahun ke 2H, umat Islam mula di fardhukan dengan kewajipan puasa
dan pada tahun itu juga Rasulullah mengishtiharkan bahawa 1 Syawal adalah hari
kebesaran umat Islam sebagai lambang kejayaan umat mengharungi cabaran Ramadhan
dengan jayanya. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah
menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari keduanya, yaitu hari raya
Aidilfitri dan Aidiladha".
Kedua-dua hari raya ini telah disambut penuh meriah oleh umat Islam
sehingga kini malah semakin hari semakin meriah. Namun begitu umat Islam tidak
patut lupa bahawa Rasulullah SAW juga telah mensyaratkan agar umat Islam
bertakbir sepanjang menyambut dua hari perayaan tersebut. Sabda Rasulullah SAW:
"Hiasilah hari raya kamu dengan takbir" .
Perang Khandak
Perang Khandak telah berlaku pada tahun yang ke-5 Hijrah. Khandak
membawa erti 'parit'. Nama ini diambil sempena peristiwa umat Islam
bersama-sama Rasulullah SAW telah menggali parit di sekeliling Madinah untuk
menghalang tentera kufar dari menawan Madinah. Perang Khandak juga dinamakan
perang Ahzab yang bererti 'bersekutu' kerana beberapa puak Quraiysh telah
bergabung dengan beberapa puak Yahudi membentuk satu pakatan tentera bersekutu
untuk menawan Madinah dan memerangi umat Islam. Peperangan ini berakhir dengan
kemenangan tentera Islam dengan bantuan Allah SWT.
Perang Hunain
Perang Hunain terjadi pada 3 Syawal tahun ke-8 Hijrah, 15 hari setelah
peristiwa Pembukaan Kota Mekah. Selepas Perang Uhud, umat Islam sekali lagi
telah mendapat pengajaran yang amat bernilai iaitu kuantiti bukan faktor utama
kemenangan. Semasa perang Hunain, diriwayatkan jumlah umat Islam yang turut
sama ikut keluar berperang tidak kurang dari 10,000 orang dan tentera kufar
hanyalah 2 puak kecil yang masih degil menentang Islam (puak Hawazan dan puak
Tsaqif). Dengan jumlah tentera yang ramai, umat Islam sudah mula berasa bongkak
dan takabbur sehingga lupa tentang pertolongan Allah SWT.
Allah telah menguji tentera Islam dengan jebakan (helah) tentera musuh
dan tentera Islam telah masuk perangkap. Kacau bilau dan ramai yang melarikan
diri. Tentera Islam terpaksa berundur dan menyusun strategi dan bertahan
sehinggalah Allah SWT mengurniakan kemenangan untuk tentera Islam.
Lahirnya Imam Bukhari
Muhammad ibnu Ismail adalah nama sebenar Imam Bukhari RH. Beliau lahir
di Bukhara, Uzbekistan pada 194H dan meninggal dunia pada 256H. Imam Bukhari
lahir dan meninggal pada bulan Syawal. Kitab beliau yang terkenal ialah Sahih
Bukhari. Sehingga kini beliau masih berhak digelar 'Ulamak Hadis Nombor Satu'.
Kitab Sahih Bukhari, salah satu kitab hadis terpenting Ahli Sunnah,
merupakan salah satu karya utama Imam Bukhari. Karya berharga ini, mengandung 9
ribu hadis pilihan dari 600 ribu hadis lainnya. Beberapa karya tulis penting
beliau lainnya adalah Al-Adab Al-Mufrid, Al-Tarikh Al-Kabir, dan Al-Sunan di
bidang ilmu fiqh. Seluruh hidup beliau dihabiskan untuk mengkaji, menghafaz dan
mencatit hadis-hadis Rasulullah SAW. Hadis-hadis yang diriwayatkan beliau
adalah hadis-hadis sahih.
No comments:
Post a Comment